Malaysia bakal tingkatkan eksport ke pasaran UAE

Malaysia bakal tingkatkan eksport ke pasaran UAE

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia bakal menerima manfaat untuk meningkatkan eksport  makanan dan produk halal selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyatakan komitmennya untuk memperluaskan pasaran.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau mengadakan pertemuan dengan Menteri Tenaga dan Infrastruktur (UAE), Suhail Mohamed Al Mazrouei bagi membincangkan beberapa kerjasama yang bakal mengukuhkan lagi hubungan dua hala.

Menurut beliau, perbincangan tersebut termasuk isu keterjaminan makanan, potensi kerjasama dalam sektor pengurusan logistik dan pelabuhan, kerjasama dalam pengurusan bencana serta kerjasama dalam pembangunan pusat data menggunakan tenaga hijau.

“Saya dapat melihat kesungguhan UAE dalam memastikan ketersediaan bekalan makanan di rantau ini dengan menjadi pusat utama bagi eksport semula produk makanan.

“Ini secara tidak langsung membuka peluang besar bagi Malaysia untuk meningkatkan eksport produk makanan dan halal ke pasaran UAE serta rantau sekitarnya,” katanya di dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, UAE berjaya membuktikkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan pelabuhannya yang membantu mengoptimumkan pengendalian kontena dan meningkatkan efisiensi logistik negara tersebut.

“Teknologi ini sekiranya dapat diaplikasikan di Malaysia, pastinya dapat membantu meningkatkan kapasiti dan daya saing pelabuhan tempatan seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas serta Westports,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, UAE melalui Space42 mempunyai sistem pemantauan bencana yang canggih dan berpotensi untuk membantu Malaysia dalam membangunkan sistem amaran awal bagi meningkatkan keupayaan negara dalam menangani bencana dengan lebih cekap.

“Kami turut melihat potensi kerjasama dalam pembangunan pusat data dengan penggunaan tenaga hijau. Ini kerana UAE telah melabur secara signifikan dalam infrastruktur melibatkan empat reaktor nuklear yang berjaya menyumbang kira-kira 25 peratus keperluan elektrik di negara tersebut.

“Saya juga telah menyambut baik cadangan UAE untuk berkolaborasi dengan Malaysia dalam teknologi data bagi memperkasa fungsi dan data sekuriti di negara kita,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menyatakan penghargaan atas sokongan UAE terhadap Malaysia sebagai negara rakan BRICS.

“Diharapkan hubungan erat ini akan membuka lebih banyak peluang baharu bagi rakyat Malaysia serta meningkatkan kedudukan Malaysia di pentas antarabangsa sebagai rakan strategik yang kukuh. Insya-Allah,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya