Malaysia akan usul terus pertahan UNRWA - PM

Malaysia akan usul terus pertahan UNRWA – PM

ANWAR Ibrahim semasa Sesi Penerangan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia berhasrat menggunakan Sidang Kemuncak Negara-Negara Arab dan Islam untuk meraih sokongan bagi menghalang keputusan Parlimen Israel yang menghalang Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, melalui sidang kemuncak yang bakal berlangsung di Riyadh pada 11 November ini, Malaysia akan mengusulkan supaya sokongan sepenuhnya diberikan kepada UNRWA bagi memastikan rakyat Palestin terus dibantu.

Kata beliau, keputusan rejim Israel mengharamkan operasi pertubuhan bantuan kemanusiaan tersebut pada 28 Oktober lalu adalah tindakan yang kejam dan tidak pernah berlaku.

“Oleh yang demikian, kehadiran saya ke Sidang Kemuncak tergempar ini adalah untuk membawa mandat Dewan Rakyat iaitu untuk mengambil tindakan bagi menghentikan kekejaman berterusan Israel ke atas rakyat Palestin.

“Selain itu, menghentikan pencerobohan dan pemusnahan pusat-pusat ibadah di Wilayah Palestin Yang Diduduki (OPT), serangan terbuka ke atas wilayah-wilayah di Lubnan dan Iran, termasuk pembunuhan Ismail Haniyeh serta Yahya Sinwar,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, satu pendekatan yang boleh diambil adalah sidang kemuncak tersebut memberi sokongan kepada usaha mediasi gencatan senjata oleh Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar.

Jelasnya, sejak Mei lalu ketiga-tiga negara tersebut sudah membangunkan satu kerangka perjanjian yang perlu dipersetujui oleh semua pihak terlibat.

“Penyertaan Malaysia sebagai ahli Perikatan Global juga sebahagian usaha untuk meningkatkan tekanan diplomatik ke atas Israel bagi melaksanakan gencatan senjata kekal di Gaza, menggesa pembebasan tahanan Palestin dan menangani penderitaan rakyat Palestin menerusi penyambungan segera bantuan kemanusiaan.

“Seterusnya, membincangkan pembangunan Pelan Tindakan dan mengenal pasti langkah-langkah konkrit ke arah mencapai kemerdekaan negara Palestin dalam tempoh garis masa yang munasabah dan jelas,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Malaysia pada 31 Oktober lalu sudah menyertai Kumpulan Teras bagi penyediaan satu draf resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Katanya, ia bagi memohon nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai obligasi Israel dalam membenarkan aktiviti dan kehadiran PBB, agensi-agensi di bawahnya, organisasi antarabangsa serta negara ketiga di OPT.

“Draf resolusi ini dalam proses rundingan dan dijangka akan dibentangkan di Perhimpunan Agung PBB untuk kelulusan dalam masa terdekat.

“Setelah diluluskan kelak, resolusi tersebut dijangkakan menjadi landasan perundangan bagi membolehkan UNRWA terus memberikan khidmat asas seperti pendidikan, rawatan kesihatan dan bantuan kemanusiaan, yang telah memberikan faedah kepada lebih enam juta pelarian Palestin di Gaza, Tebing Barat, Jordan, Lubnan dan Syria,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya