BUKIT MERTAJAM : Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menasihati majikan supaya bertoleransi terhadap pekerja yang terkesan akibat banjir ketika ini.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, majikan juga tidak boleh sewenang-wenangnya memotong gaji pekerja kerana perkara itu tertakluk kepada Akta Kerja 1955 di Semenanjung serta Ordinan Buruh bagi negeri Sabah dan Sarawak.
Menurut beliau, gaji pekerja tidak boleh dipotong kecuali mengikut perkara yang dinyatakan dalam undang-undang contohnya seperti potongan cukai berkala, potongan untuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan sebagainya.
“Oleh itu, kita bersedia untuk membimbing kedua-dua pihak (majikan dan pekerja) bagi memastikan penyelarasan kerja dapat dilakukan sekali gus meringankan beban mereka yang terkesan susulan bencana itu.
“Dalam hal ini, saya minta mereka untuk tampil ke Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan kita sudi memberikan khidmat nasihat kepada kedua-dua pihak agar kita boleh mengekalkan satu keharmonian selain memudah cara isu-isu berkaitan dengan pekerjaan di waktu krisis ini.
“Bagi kedua-dua pihak yang berada di lokasi yang dilanda banjir, mungkin mereka boleh menelefon, menghantar emel atau mesej kepada pegawai-pegawai JTK di tempat masing-masing.
“Khidmat nasihat boleh diberikan supaya aturan kerja yang lebih tersusun dapat diperincikan sekali gus memudahkan tindakan khusus diambil meliputi pelbagai aspek antaranya gaji dan cuti,” katanya selepas Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI (KAM) di Kampung Baru Alma di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, seramai 10,000 sukarelawan Wira Kesuma bersedia untuk digerakkan bagi membantu mangsa banjir khususnya di kawasan Pantai Timur.
Katanya, setiap sukarelawan itu telah dilengkapi dengan ilmu, kemahiran dan pengurusan keselamatan menerusi bimbingan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).
“Kita tidak mahu sukarelawan yang bertugas nanti merisikokan diri sendiri. Maka, kursus keselamatan dan kesihatan pekerjaan telah diberikan bagi memastikan mereka memahami peranan masing-masing,” ujar beliau.-UTUSAN