Mahu warga Pantai Jerejak nikmati hidup lebih tenang, selesa

Mahu warga Pantai Jerejak nikmati hidup lebih tenang, selesa

FAHMI Zainol (depan) ketika meninjau kawasan sekitar Pantai Jerejak, Pulau Pinang dengan menaiki motosikal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang yang lalu, Fahmi Zainol, 33, seorang ahli politik muda daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), telah dipilih sebagai wakil rakyat kepada kira-kira 30,000 penduduk berbilang kaum di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak selepas berjaya memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 8,597 undi.

Pada pilihan raya berkenaan, Fahmi yang buat pertama kalinya bertanding memperoleh 14,116 undi, mengalahkan lawannya, Oh Tong Keong (PN-Gerakan) yang memperoleh 5,519 undi.

Menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat pada usia yang masih muda bukanlah penghalang bagi Fahmi untuk berbakti kepada pengundi yang mempercayainya.

Berasal daripada keluarga tanpa latar belakang politik, beliau memulakan langkahnya dalam dunia politik semasa bergelar mahasiswa di Universiti Malaya (UM) dan kini berkhidmat sebagai ADUN Pantai Jerejak.

Menurut Fahmi, DUN Pantai Jerejak merupakan kawasan bandar yang pesat membangun di Pulau Pinang kerana kawasan itu dihuni oleh penduduk pelbagai latar belakang, merangkumi kelompok T20, M40, dan B40.

“Secara amnya, komposisi penduduk di kawasan ini terdiri daripada 60 peratus pengundi Cina, 40 pengundi Melayu dan selebihnya masyarakat India.

“Pantai Jerejak adalah kawasan yang bercampur di mana pelbagai lapisan masyarakat tinggal bersama dalam satu komuniti yang besar. Oleh itu, masalah yang dihadapi penduduk di sini juga pelbagai. Namun, sebahagian besarnya berkaitan isu perbandaran dan keperluan infrastruktur yang berkualiti,”katanya.

Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri menjelaskan, penduduk setempat sering mengutarakan isu kebersihan dan keselamatan kawasan persekitaran sebagai keutamaan mereka.

“Penduduk mahu apabila mereka pulang dari kerja, kawasan perumahan berada dalam keadaan bersih. Sampah dikutip, pokok dipangkas, longkang tidak tersumbat, dan jalan diturap dengan baik. Biarpun isu-isu ini nampak kecil, ia penting bagi mereka yang mahukan kediaman yang selesa dan teratur,” jelasnya.

Selain itu, Fahmi turut menekankan cabaran lain seperti masalah banjir kilat yang kerap melanda setiap kali hujan lebat atau air pasang.

“Sebagai langkah penyelesaian, sebuah projek tebatan banjir bernilai RM12 juta telah diluluskan dan ia dijangka bermula hujung tahun ini. Projek ini diharap dapat mengatasi masalah banjir di Pantai Jerejak dan kawasan berdekatan seperti Bayan Baru,” tambahnya.

————————————————————————————————————————–

Nama: Fahmi Zainol
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran dan Keadilan Sosial Universiti Malaya
Usia: 33 tahun
Asal: Pulau Pinang
Status: Berkahwin
Jawatan:
• ADUN Pantai Jerejak
• Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang
• Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR
• Naib Pengerusi PKR Pulau Pinang

—————————————————————————————————————————–

SELAIN ADUN, Fahmi Zainol (tengah) turut berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang ketika in

Selain itu, katanya, satu lagi isu utama adalah kesesakan lalu lintas yang kerap mengganggu penduduk, terutamanya di Bulatan Sungai Nibong hingga ke Terminal Bas Sungai Nibong.

“Kesesakan di kawasan ini sering menjadi rungutan penduduk, dan sebagai wakil rakyat, saya sedang mencari penyelesaian, termasuk cadangan pembinaan laluan bypass yang sedang dalam perbincangan,” katanya.

Fahmi menambah, Kementerian Ekonomi juga telah meluluskan dana sebanyak RM1 juta bagi tujuan naik taraf landskap di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pantai Jerejak dan peruntukan itu juga akan digunakan untuk manfaat kerja-kerja pembersihan.

“Projek-projek naik taraf melibatkan landskap, laluan pejalan kaki, projek-projek pembersihan dan lain-lain lagi akan turut dilaksanakan menerusi peruntukan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi turut memberikan fokus kepada inisiatif bagi membantu golongan B40 di kawasan ini mengatasi cabaran hidup.

“Kami mengadakan program Jualan Rahmah secara bulanan di kawasan-kawasan B40 seperti di Jalan Mahsuri dan Jalan Tengah. Sekiranya tiada Jualan Rahmah, kami menggantikannya dengan Jualan Agro Madani,”katanya.

Selain Jualan Rahmah, Fahmi dan pasukannya turut menumpukan perhatian kepada usaha meningkatkan kemahiran keusahawanan dalam kalangan komuniti B40, khususnya penduduk flat lama di kawasan hotspot seperti Jalan Mahsuri dan Jalan Tengah.

Sebagai ADUN, Fahmi berharap Pantai Jerejak akan menjadi kawasan yang bersih dan sihat di mana penduduk dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik.

“Saya percaya penduduk di sini mempunyai harapan yang tinggi untuk hidup dalam persekitaran yang selesa dan damai. Oleh itu, saya berusaha menjaga kesejahteraan mereka, termasuk memastikan kesihatan mental mereka tidak terjejas.

“Harapan saya adalah untuk melihat penduduk di sini dapat pulang ke rumah dengan tenang, bebas daripada tekanan, selari dengan aspirasi kesejahteraan mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya