KUALA LUMPUR: Komposer terkenal, Datuk M Nasir, 67, melakarkan satu lagi pencapaian apabila dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persembahan yang membawa gelaran doktor.
Anugerah itu disampaikan Raja Permaisuri Perak yang juga Canselor UPSI, Tuanku Zara Salim pada Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-26 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak, hari ini.
M Nasir berkata, anugerah itu merupakan pengiktirafan yang cukup bermakna sepanjang lebih empat dekad perjuangan dalam bidang seni.
“Terima kasih atas penghormatan ini. Pengiktirafan ini menjadi lebih bermakna apabila diberi sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) yang mengutamakan pendidikan dalam bidang seni.
“Anugerah ini sangat besar buat saya. Ini menunjukkan UPSI menghargai perjuangan saya sepanjang 45 tahun dalam bidang seni,” katanya.
Selain M Nasir, istiadat itu turut menyaksikan vokalis kumpulan Lefthanded, Datuk Nash, menerima Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan.
M Nasir dalam masa yang sama menganggap gelaran yang diterima itu sebagai tanda keprihatinan UPSI terhadap perkembangan industri hiburan tanah air.
“Biarpun ini bukanlah sesuatu yang baharu, namun, saya bersyukur kerana ia membuktikan mereka mengikuti perkembangan semasa dunia seni.
“Ini suatu penghormatan buat semua penggiat industri secara keseluruhan,” katanya.
Sementara itu, komposer berusia 67 tahun itu menyuarakan kesediaan untuk terus bekerjasama dengan UPSI dalam menjayakan sebarang projek selepas ini.
“Luncai Emas Sdn Bhd merupakan rakan strategik UPSI melalui perjanjian persefahaman sejak 2016 sehingga sekarang.
“Melalui kerjasama kami, ramai pelajar UPSI yang menjalani latihan industri di syarikat saya,” ujarnya.