KUALA LUMPUR: Penyanyi, Luqman Faiz berang dituduh menjalani hubungan sejenis selepas videonya tular dan dijadikan bahan kandungan untuk kelompok tersebut.
Luqman menerusi sebuah hantaran di aplikasi X berkata, dia sudah berdepan dengan isu tersebut sejak awal pembabitannya dalam industri seni namun, dia kesal apabila ada pihak yang mempersoalkan seksualitinya.
“Saya ‘straight’. Tolong berhenti. Saya dah kena kacau daripada hari pertama saya masuk industri. Saya tidak pernah buka mulut.
“Tapi sebab ada yang kongsi video saya and guna sebagai content gay, saya pergi kelas, pergi mana-mana orang persoalkan seksualiti saya. Tidakkah rasa bodoh itu?,” katanya.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Kepuraanmu itu tidak menghakimi mana-mana pihak yang mempunyai keinginan terhadap jantina sejenis sebaliknya dia terbuka berkawan dengan sesiapa sahaja.
Bagaimanapun, Faiz mengakui kurang selesa apabila gelaran itu terpalit ke atas dirinya hanya kerana tindakan tidak bermoral sesetengah pihak.
“Saya berkawan dengan semua jenis manusia dan tidak pernah menghakimi apa minat orang pun. Tapi sampai libatkan saya, macam saya ni sebahagian daripada komuniti, adalah satu fitnah atas diri saya.
“Saya jalan sana sini orang tanya saya ‘straight’ ke apa. Muka mahu letak mana? Itu kalau yang tanya. Kalau yang tidak tanya itu, tidakkah nampak saya lain,” jelasnya.
Luqman berkata demikian selepas terpanggil untuk membalas video seorang pengguna TikTok yang mengulas tentang tindakannya yang keras menegaskan dirinya lelaki sejati.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengikutnya bersimpati dengan nasib yang dilaluinya dan menyarankan penyanyi itu untuk tidak melatah dan melenting dalam memberikan respon mengenai isu tersebut.
“Sebenarnya, benda ini tidak perlu respon. Tengok bila kita respon apa jadi? Biar saja semua benda berlalu macam angin lalu. Ada benda yang membuatkan perbuatan itu lebih tajam daripada kata-kata,” komen seorang netizen.
“Lepas ini kena berhati-hati dengan apa yang dikongsikan di media sosial. Kadang-kadang boleh makan diri. Abaikan dan teruskan hidup. Inilah sepak terajang kehidupan,” komen seorang lagi peminatnya. -UTUSAN