MELAKA: Lulusan universiti di Malaysia kini menjadi sasaran utama sindiket penipuan pekerjaan luar negara yang menawarkan gaji tinggi terutama dari Indochina.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, sindiket itu mengambil kesempatan terhadap golongan berkenaan yang sedang mencari pekerjaan.
Katanya, iklan-iklan yang disiarkan dengan tawaran gaji lumayan dalam media sosial menjadi punca terpengaruh, sehingga tidak menyedari terlibat dengan sindiket penipuan dalam talian atau scammer.
Menurutnya, sindiket itu menawarkan gaji antara RM4,000 hingga RM5,000 berbanding bekerja di negara ini dengan upah antara RM1,500 hingga RM2,200.
“Iklan itu tidak menunjukkan mereka terlibat sebagai scammer dan judi dalam talian, sebaliknya menggambarkan kerja sebagai pegawai perhubungan awam (PRO), pegawai perkhidmatan pelanggan, pegawai teknikal dan lain-lain.
“Justeru nasihat saya kepada golongan anak muda terutama lepasan universiti yang melihat tawaran gaji lumayan pekerjaan di luar negara, sebenarnya mereka harus semak semula,” katanya selepas Seminar Penguatkuasaan ATIPSOM 2024 di Banda Hilir di sini, semalam.
Menurut Mohd. Shuhaily, sindiket berkenaan kebanyakannya datang dari Laos, Myanmar, Kemboja dan Vietnam.
Kata beliau, pembanterasan sindiket pemerdagangan manusia menjadi semakin mencabar kerana kumpulan penjenayah terlibat turut menguasai teknologi moden untuk memperdaya orang ramai.
“Kita dapati ada rakyat tertipu dan ada juga yang bukan sahaja bersekongkol tetapi mempunyai peranan tersendiri untuk mengajak rakan-rakan lain yang dikenali terlibat sama,” katanya. – UTUSAN