LTAT dibelenggu 3 isu - PAC

LTAT dibelenggu 3 isu – PAC

MAS ERMIEYATI SAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berhadapan tiga isu yang perlu diselesaikan segera.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, isu tersebut berdasarkan prosiding yang diadakan iaitu dua pada 20 Jun lalu dan dua prosiding seterusnya pada 7 Ogos 2024.

Kata beliau, isu tersebut antaranya melibatkan penjejasan nilai yang tidak dilakukan terhadap pelaburan dalam syarikat subsidiari oleh LTAT dan rizab Pendapatan Komprehensif Lain lembaga tersebut yang berbaki negatif.

Selain itu, menurutnya, PAC mendapati pembayaran dividen kepada pencarum berasaskan keuntungan bukan tunai bagi tahun 2022 dan perkara tersebut turut dilakukan pada tahun sebelumnya.

“Berhubung isu rizab LTAT yang berbaki negatif, PAC mengambil maklum penjelasan mengenai tiga komponen rizab LTAT yang merangkumi Rizab Pendapatan Komprehensif Lain iaitu portfolio pelaburan saham LTAT serta Dana Rizab dan Keuntungan Tertahan Terkumpul.

“Walaupun kedudukan Rizab Pendapatan Komprehensif Lain berbaki negatif disumbang oleh pegangan saham legasi, LTAT perlu mengambil tindakan untuk memastikan semua komponen ini berada dalam kedudukan positif,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.

PAC hari ini membentangkan Laporan PAC berhubung LTAT di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) selepas isu ini dilaporkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2022.

Empat prosiding tersebut menyaksikan PAC memanggil Ketua Audit Negara, Menteri Pertahanan, Ketua Setiausaha (KSU) MINDEF dan Ketua Eksekutif LTAT.

Turut dipanggil oleh PAC adalah bekas Pengerusi, bekas Ketua Eksekutif dan bekas Pengarah Kanan Strategi LTAT yang telah meletakkan jawatan masing-masing pada 8 Februari, 31 Januari serta 16 Februari 2024.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, PAC mengambil maklum strategi yang sudah dirangka LTAT bagi memperbaiki kedudukan portfolio pelaburannya.

“Strategi yang tertumpu kepada peningkatan keuntungan terkumpul bagi membolehkan LTAT mengurangkan kedudukan negatif secara beransur-ansur perlu diteruskan.

“Ini termasuk penyusunan semula pendedahan pelaburan LTAT kepada syarikat tunggal Boustead Holdings yang akan membantu LTAT meningkatkan keuntungan terkumpul dan menaikkan nilai aset pelaburan, sekaligus memperbaiki kedudukan rizab LTAT,” jelasnya.

Ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata, PAC memberikan tempoh selama dua bulan kepada Mindef dan LTAT sebelum dipanggil semula untuk prosiding tindakan susulan bagi membolehkan Jawatankuasa ini mengetahui tindakan yang telah diambil terhadap syor-syor yang dikemukakan.

“Di dalam prosiding tindakan susulan tersebut, PAC turut meminta supaya LTAT membentangkan Pelan Strategik LTAT khususnya untuk memastikan daya tahan dan kelangsungan serta kelestarian LTAT,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya