LTAT berpotensi hilang RM5 bilion kerana terlalu bergantung pada Boustead Holdings

LTAT berpotensi hilang RM5 bilion kerana terlalu bergantung pada Boustead Holdings

MAS ERMIEYATI SAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dilihat terlalu bergantung kepada pendapatan dan prestasi Boustead Holdings Berhad (Boustead Holdings) hingga menyebabkan pendedahan lembaga tersebut secara berlebihan kepada syarikat berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pergantungan LTAT kepada Boustead Holdings secara berlebihan perlu diberi perhatian yang serius dan diambil tindakan segera oleh semua pihak berkepentingan terutama Kementerian Pertahanan (Mindef) dan lembaga itu sendiri.

Kata beliau, aliran tunai kritikal dan pelbagai krisis kewangan yang melanda Boustead Holdings dan anak-anak syarikatnya meningkatkan risiko penyusutan nilai melibatkan sehingga 50 peratus daripada nilai tabung.

Jelasnya, penyusutan hampir RM5 bilion dana tabung persaraan yang diuruskan oleh LTAT yang bukan sahaja menyebabkan lembaga itu tidak berkemampuan membayar dividen kepada pencarum tetapi turut boleh menyebabkan mereka kehilangan serta kerugian dana berkenaan.

“PAC berpendapat bahawa pelan penstrukturan semula Boustead Holdings yang dilancarkan pada Julai 2023 sebagai inisiatif utama dalam Pelan Strategik LTAT 2023-2025 adalah satu pelan yang praktikal.

“Pelan ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan LTAT kepada Boustead Holdings malah akan mempelbagaikan pelaburan LTAT dalam aset-aset yang berkualiti lain.

“Pelan tersebut turut telah melalui pelbagai proses tapisan dan kelulusan di setiap peringkat di LTAT dan Mindef ketika itu serta melibatkan kajian yang menyeluruh oleh pihak LTAT,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.

PAC membentangkan Laporan PAC berhubung LTAT di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) selepas isu ini dilaporkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2022.

Jawatankuasa tersebut mengadakan empat prosiding, dua pada 20 Jun dan dua lagi pada 7 Ogos lalu dengan Ketua Audit Negara, Menteri Pertahanan, Ketua Setiausaha Mindef dan Ketua Eksekutif LTAT.

Selain itu, Mantan Pengerusi, Mantan Ketua Eksekutif dan Mantan Pengarah Kanan Strategi LTAT yang sudah meletakkan jawatan masing-masing pada 8 Februari 2024, 31 Januari 2024 dan 16 Februari 2024 turut dipanggil oleh PAC.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, PAC berpandangan bahawa keputusan Mindef pada masa ini untuk menghentikan pelan penstrukturan semula yang sudah mula dilaksanakan di bawah pengurusan LTAT terdahulu membantutkan perjalanan transformasi lembaga itu yang perlu dilaksanakan dengan segera, secara menyeluruh dan tuntas.

“Selain itu, berdasarkan keterangan Menteri Pertahanan sendiri semasa prosiding, keputusan penangguhan dan arahan untuk merangka semula pelan penstrukturan semula Boustead Holdings dibuat setelah hanya mendapat pandangan daripada pengurusan Boustead Holdings, dan bukan daripada pengurusan LTAT.

“LTAT sebagai pemilik 100 peratus Boustead Holdings perlu diberi ruang sepenuhnya untuk merangka dan melaksana pelan yang memenuhi keperluan dan objektif LTAT, bukan sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata, struktur syarikat Boustead Holdings sebagai syarikat pengantara antara LTAT dengan syarikat-syarikat yang menjana keuntungan perlu dirombak semula dengan mengambil kira pelbagai krisis dan skandal yang telah berlaku di bawah pengawasan syarikat tersebut.

“Penstrukturan semula Boustead Holdings bagi membolehkan LTAT menjadi pemilik terus anak-anak syarikat yang terlibat dalam pelbagai industri bukan perkara baru.

“Penstrukturan yang sama sudah dilaksanakan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebelum ini ke atas syarikat Sime Darby Berhad (SDB), yang menghasilkan pemilikan terus PNB ke atas anak-anak syarikat SDB yang terlibat dalam sektor perladangan, hartanah dan industri,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mas Ermieyati berkata, pihaknya memandang serius penjualan tanah milik Boustead Holdings yang dilaporkan oleh media.

Jelasnya, terkini, dilaporkan bahawa EcoWorld telah membeli tanah seluas 342.87 hektar di koridor Semenyih dengan nilai RM742.4 juta daripada Boustead Holdings.

“Sebelum itu, media turut melaporkan bahawa tanah milik Boustead Holdings seluas 485.6 hektar dengan anggaran nilai RM400 juta turut dalam proses penjualan.

“Penjualan penjualan ini memberikan persepsi bahawa wang hasil jualan berkenaan digunakan untuk membayar dividen kepada pencarum LTAT,” katanya.

Pemimpin dari Perikatan Nasional (PN) itu memaklumkan bahawa PAC mengesyorkan tiga perkara untuk dilaksanakan antaranya LTAT harus membuat pembayaran dividen berlandaskan keuntungan sebenar dan tidak menggunakan keuntungan bukan tunai seperti yang dilakukan pada tahun 2021 dan 2022.

Selain itu, katanya, LTAT juga seharusnya meningkatkan usaha untuk mempelbagaikan komposisi portfolio pelaburan serta tidak bergantung pada satu entiti sahaja bagi mengurangkan risiko pendedahan supaya dapat memberi dividen yang tinggi dan konsisten kepada pencarum.

“Mindef dan LTAT perlu membentangkan kepada PAC status terkini perancangan LTAT berhubung pegangan portfolio saham, penstrukturan semula Kumpulan Boustead dan Hala Tuju LTAT sebelum akhir tahun 2024,” jelasnya.

Tambahnya, PAC meminta Jabatan Audit Negara (JAN) untuk melaksakanan pengauditan terperinci terhadap Boustead daripada segi kewangan dan tata kelola Boustead pada tahun hadapan selaras dengan kuasa baharu yang diberikan di bawah Akta Audit (Pindaan) 2024 (Akta A1720).

“PAC memberikan tempoh selama dua bulan kepada Mindef dan LTAT sebelum dipanggil semula untuk prosiding tindakan susulan bagi membolehkan Jawatankuasa ini mengetahui tindakan yang telah diambil terhadap syor-syor yang dikemukakan.

“Di dalam prosiding tindakan susulan tersebut, PAC turut meminta supaya LTAT membentangkan Pelan Strategik LTAT khususnya untuk memastikan daya tahan dan kelangsungan serta kelestarian LTAT,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya