KUALA LUMPUR: Transit Aliran Ringan (LRT) 3 Laluan Shah Alam dijangka memulakan operasi tahun hadapan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pembukaan laluan rel baharu itu bertujuan memudahkan akses penduduk di kawasan Klang dan Shah Alam untuk ke pisat bandar.
Katanya, usaha itu menandakan komitmen kerajaan untuk membawa lebih banyak pilihan kemudahan pengangkutan awam kepada pengguna.
“Pembukaan jajaran laluan rel baharu menerusi LRT Laluan Shah Alam akan memudahkan penduduk luar dari koridor Shah Alam dan Klang untuk mengakses ke pusat bandar Kuala Lumpur.
“Melalui usaha ini, kerajaan akan cuba sedaya upaya untuk membawa lebih banyak pilihan, lebih banyak kemudahan pengangkutan awam kepada anda semua,” katanya semasa berucap sempena Festival Rapid KL: Dua dekad bersama, di sini semalam.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Tan Sri Jamaludin Ibrahim. – UTUSAN