KUALA LUMPUR: Yang dinanti-nanti tiba kembali, program realiti, Gegar Vaganza (GV) sekali lagi membuka tirai selepas membongkar 14 identiti penyanyi yang bakal berentap dalam musim ke-11 kali ini.
Lama menyepi, kini muncul kembali, Liza Aziz, Ning Baizura, Illa Sabry, Zehra Zambri, Arrora Salwa dan Sheilla Abdull merupakan barisan penyanyi wanita tanah air yang bakal muncul di program realiti mega itu.
Turut disertai oleh barisan penyanyi lelaki lain seperti Ronnie Hussein, Reshmonu, Fairuz Selamat dan Nai Dinamik.
Lebih menarik lagi musim kali ini, empat barisan penyanyi luar negara dari Indonesia dan Singapura seperti kumpulan The Lima, Inka Christie, vokalis Dadali Dyrga dan Yazid Lovehunters juga bakal mengeggarkan pentas acara itu.
Sinonim dengan slogan ‘bintang kembali menyengat’, Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu, Astro, Raqim Ahmad berkata, musim kali ini mereka telah merombak kembali format program tersebut kepada asal yang menampilkan barisan penyanyi yang sudah lama tidak muncul dalam industri.
“Sebenarnya, banyak barisan penyanyi yang kami pujuk untuk sertai musim kali ini. Macam nama besar seperti Liza Aziz, kita sendiri tidak jangka dia bersetuju untuk bertanding. Alhamdulillah, tahun ini ramai juga peserta daripada Indonesia.
“Tahun ini kami memang nak semua penyanyi lagend kembali ke pentas. Memang kita tengok ramai peminat yang suka dengan format asal ini. Kalau sebelum ini ada saja yang suka dengan konsep sebelum ini. Tapi kita ingin kembalikan konsep ‘one hit wonder’ itu.
“Tapi susahnya tentang penyanyi legenda ini kami menitikberatkan dari segi vokal itu. Memang mereka ramai tetapi adakah mereka masih boleh jayakan dengan baik. Jadi, kami tidak mahu mengaibkan mereka,” katanya.
Perkara itu telah dikongsikan oleh Raqim ketika ditemui pada sesi sidang media GV11, di sini, semalam.
Dalam pada itu, program tersebut masih mengekalkan pelawak Nabil Ahmad dan Jihan Muse sebagai hos manakala Datuk Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang adalah juri tetap.
GV11 akan mula bersiaran secara langsung dari dari Auditorium MBSA, Shah Alam selama 12 minggu ditayangkan di saluran Astro Ria dan dijadualkan berlangsung pada 24 November depan. -UTUSAN