Literasi kewangan penting elak terjerat hutang

Literasi kewangan penting elak terjerat hutang

MAJORITI masyarakat tiada tabungan mencukupi untuk menampung kos hidup selama tiga hingga enam bulan sekiranya berlaku kecemasan, kehilangan pekerjaan atau masalah kesihatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kebanyakan masyarakat Malaysia mempunyai tahap kewangan yang rendah dan ia menjadi suatu kebimbangan yang boleh mengancam kesejahteraan kewangan masyarakat terutama dalam menghadapi situasi mencabar.

Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, perkara ini dapat dilihat melalui kajian Bank Negara Malaysia (BNM) yang menunjukkan 75 peratus masyarakat Malaysia tidak memiliki simpanan kecemasan sekurang-kurangnya RM1,000.

AHMAD DASUKI ABDUL MAJID

Menurut beliau, majoriti masyarakat tiada tabungan mencukupi untuk menampung kos hidup selama tiga hingga enam bulan yang boleh mengakibatkan mereka lebih terdedah kepada masalah kewangan sekiranya berlaku kecemasan, kehilangan pekerjaan atau masalah kesihatan.

“Perkara ini memberi gambaran bahawa mereka langsung tidak memikirkan kemungkinan bakal dihadapi seperti masalah kesihatan, kehilangan sumber pendapatan atau kecemasan keluarga.

“Situasi ini membimbangkan kerana ramai individu cenderung berbelanja melebihi kemampuan atau terjebak dalam gaya hidup mewah, lalu terbeban dengan hutang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Ahmad Dasuki berkata, dalam usaha meningkatkan literasi kewangan, PTPTN telah melancarkan pelbagai inisiatif untuk memupuk budaya menabung dalam kalangan masyarakat.

Kata beliau, produk simpanan PTPTN iaitu Simpan SSPN telah diperkenalkan sebagai langkah awal kepada masyarakat Malaysia untuk memulakan simpanan secara konsisten serta menawarkan pelbagai manfaat dan kelebihan.

“Simpanan ini bukan sahaja membantu dalam perancangan kewangan pendidikan anak-anak, malah turut menawarkan kelebihan lain seperti perlindungan takaful percuma, pelepasan taksiran cukai pendapatan dan dividen yang kompetitif.

“Dengan manfaat ini, ibu bapa boleh memilih medium simpanan yang memberi pulangan baik bagi jaminan masa depan anak-anak.

“PTPTN sentiasa membantu masyarakat Malaysia membuat perancangan kewangan bagi tujuan pendidikan bagi memastikan anak-anak tidak dibebani hutang setelah tamat pengajian sekali gus mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman,” katanya.

Tambah beliau, Belanjawan 2025 turut memberi penekanan kepada insentif simpanan pendidikan yang mana pelepasan cukai individu bagi simpanan dalam Simpan SSPN telah dilanjutkan untuk tempoh tiga tahun sehingga 2027.

“Pemberian geran padanan atas simpanan dalam akaun Simpan SSPN bagi pelajar yang melanjutkan pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) daripada keluarga berpendapatan RM4,000 diperluaskan sehingga RM6,000 dengan jumlah geran maksimum sehingga RM5,000. Inisiatif melalui ikhtiar Geran Padanan Ihsan (GAPAI) ini adalah bagi tempoh dua tahun.

“PTPTN memperkenalkan aplikasi myPTPTN untuk memudahkan pengguna mengurus simpanan, pembayaran pinjaman, dan transaksi lain secara dalam talian, selaras dengan usaha pendigitalan di bawah Teras ke-5 Pelan Strategik PTPTN 2021-2025,” jelasnya.

FAIZ AZMI

Sementara itu, pendidik kewangan, Faiz Azmi berkata, pendidikan kewangan sejak muda penting untuk membina asas pengurusan kewangan dan membuat keputusan kewangan yang bijak dalam kalangan anak-anak.

Malah, ibu bapa perlu memainkan peranan utama dalam mengajarkan konsep asas seperti menabung, berbelanja dengan bijak dan menetapkan matlamat kewangan sejak kecil.

Kata beliau, kebiasaan menyimpan wang perlu dipupuk sejak muda kerana ramai gagal membuat simpanan di usia tua akibat kurangnya tabiat ini sejak kecil.

“Salah satu pendekatan praktikal ialah menggunakan bajet 50-30-20, iaitu 50 peratus keperluan, 30 peratus kehendak dan 20 peratus simpanan.

“Ketika anak-anak semakin dewasa, ilmu pelaburan seperti saham juga boleh diajarkan untuk meningkatkan literasi kewangan mereka,” katanya.

Tambahnya, masyarakat Malaysia perlu memiliki ilmu kewangan yang kukuh untuk mengelakkan mentaliti seperti ‘FOMO’ (takut terlepas peluang) dan ‘YOLO’ (hidup sekali sahaja) yang boleh menggalakkan perbelanjaan berlebihan.

“Dari segi simpanan pendidikan, Simpan SSPN adalah pilihan yang sangat relevan kerana dapat mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan lain.

“Selain itu, simpanan dalam Simpan SSPN menawarkan pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun dan perlindungan takaful yang disediakan mengikut skim yang dipilih sama ada Simpan SSPN Prime atau Simpan SSPN Plus,” jelasnya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN