PETALING JAYA: Lima kenderaan terperangkap dalam banjir kilat di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) di Persiaran Surian Damansara di sini, pagi ini.
Pusat Gerakan Operasi Selangor menerima panggilan berkaitan kejadian pada pukul 8.09 pagi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling Jaya ke lokasi kejadian.
“Pasukan penyelamat mendapati berlaku banjir kilat di lokasi. Terdapat lima buah kenderaan terperangkap dalam banjir dan kejadian tidak melibatkan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, setakat pukul 9.30 pagi ini, paras air di lokasi semakin surut. – UTUSAN