JOHOR BAHRU: Lima individu termasuk seorang wanita ditahan kerana dipercayai terlibat dalam pesta dadah di sebuah kondominium, di bandar raya ini, tengah malam semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada empat lelaki tempatan dan seorang wanita Thailand berusia antara 17 hingga 23 tahun.
Menurutnya, kesemua mereka ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan pada pukul 12.30 tengah malam.
“Menerusi serbuan itu, polis merampas pelbagai jenis dadah antaranya 109.5 gram serbuk ecstasy; 4.2 gram syabu; 0.55 gram ketamin, 0.3 gram pil eramin 5. Turut dirampas wang tunai RM4,550, beberapa keping mata wang asing, empat utas barang kemas serta sebuah Toyota Vios.
“Siasatan awal mendapati dadah tersebut digunakan bagi tujuan berhibur di lokasi berkenaan. Ujian urin dibuat mendapati empat daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Raub, polis masih menyiasat bagaimana suspek memperoleh bekalan dadah berkenaan bagaimanapun pihaknya percaya bahan terlarang itu dibeli daripada seorang individu yang menjualnya melalui platform media sosial WeChat.
“Semua suspek ditahan reman selama lima hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN