Kampung Tunku, Selangor, mungkin sama dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) lain yang memerlukan perhatian wakil rakyatnya, supaya taraf kehidupan masyarakat menjadi lebih baik dan sejahtera.
Namun, antara masalah menjadi tumpuan di Kampung Tunku adalah isu miskin bandar dan ini yang sedang diusahakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Lim Yi Wei, 35, dari DAP, memandangkan masih ramai dalam kalangan penduduk hidup dalam keadaan rentan.
Syukur, komuniti DUN Kampung Tunku mempunyai pemimpin bertanggungjawab seperti Yi Wei yang tahu mengendali masalah dan setiap perancangannya terus berjalan selagi amanat diberi rakyat dalam pilihan raya lalu terletak di pundaknya.
Nama penuh: Lim Yi Wei
Penggal DUN: 2
Pendidikan:
• Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan), The Hong Kong University of Science and Technology
Kerjaya dan pengalaman:
• [2024] Presiden Kesatuan Ragbi Selangor (KRS)
• [2023-kini] Penolong Setiausaha Publisiti sayap Wanita DAP
• [2022] Setiausaha Antarabangsa Pemuda DAP
• [2022] Commonwealth Parliamentary Association (CPA) Parliamentary Academy Resident
[2018] US Professional Fellow (Governance and Society), Young Southeast Asian Leaders Initiative (YSEALI)
• [2016-2018] Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ)
[2016-2018] Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara (DAP)
• [2016] Mempelopori kursus latihan blockchain Asia Pasifik (APAC) pertama untuk pemain pasaran modal, Blockchain Bootcamp, Singapura
• [2014-2015] Penerbit Persidangan, Incisive Media, Hong Kong
Status: Bujang
“Sejak penggal DUN lalu, isunya masih sama iaitu miskin bandar. Situasi ini mencabar kerana kadang-kadang isu ini tidak terlalu ketara berbanding di tempat lain.
“Contohnya di program perumahan rakyat (PPR), mungkin 70 peratus dalam kalangan mereka ada daripada golongan berpendapatan rendah (B40), tetapi, ada kes yang mana penduduknya mempunyai rumah teres, pangsapuri, rumah dua tingkat.
“Dari luar memang nampak indahlah, tetapi, mungkin disebabkan berlaku kematian, perceraian atau masalah kesihatan terhadap pencari nafkah utama, jadi mereka tiada pendapatan yang sukar kami kenal pasti,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Beliau ditemui selepas mengumumkan penyiapan kerja-kerja naik taraf laluan pejalan kaki di bawah Projek Selangor (PSP) sepanjang 250m bersama beberapa wakil penduduk di taman di Jalan SS2/48 di sini, baru-baru ini.
Turut hadir, Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Zon 8 (SS2), Loh Y Lun, 24.
PSP adalah satu inisiatif menumpukan kepada projek fizikal kecil untuk menambah baik infrastruktur. Projek naik taraf itu bermula pada September dan siap pada Oktober lalu dengan kos RM81,700.
Projek laluan pejalan kaki itu juga amat penting bagi Yi Wei demi menggalakkan penduduk terutama warga emas berjalan kaki sebagai satu bentuk senaman ideal, sekali gus mengekalkan tahap kesihatan menyeluruh.
Saya juga berkesempatan meluangkan masa bersarapan bersama Yi Wei dan beberapa wakil penduduk Kampung Tunku dan membincangkan keperluan komuniti di kawasannya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor tahun lalu, Yi Wei menang dengan undi majoriti 30,378 menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Chin Yoke Kheng yang hanya memperoleh 3,367 undi.
TARAF HIDUP LEBIH BAIK
Mengulas lanjut, katanya, setiap rakyat rakyat khususnya di Kampung Tunku berhak mendapat pekerjaan dengan gaji yang bermaruah dan itu adalah misi terbesar menjadikan kehidupan rakyat menjadi lebih baik.
“Saya mahu menjadikan taraf hidup komuniti menjadi lebih baik dan sejahtera. Bukan sekadar memberi bantuan tunai atau barangan, tetapi mengubah cara pemikiran masyarakat,” katanya.
KESATUAN RAGBI
Untuk rekod, Yi Wei mencipta sejarah sebagai presiden wanita pertama menerajui Kesatuan Ragbi Selangor (KRS) sejak lebih 100 tahun kesatuan itu ditubuhkan.
Beliau yang dicalonkan oleh Kelab Ragbi Cobra pada mesyuarat agung tahunan (AGM) KRS, diumum menang tanpa bertanding untuk jawatan berkenaan bagi penggal 2024-2026.
“Kami bertanggungjawab untuk membangunkan ragbi di peringkat akar umbi, kenal pasti pelapis supaya lebih ramai anak-anak menyertai sukan ini. Kami mahu mengembangkan bakat mereka untuk bertanding di mana-mana perlawanan,” katanya. – UTUSAN