KUALA LUMPUR: Enggan melayan pujuk rayu suaminya, pelakon, Diana Danielle berharap agar aktor, Farid Kamil memudahkan proses perceraian mereka yang bakal difailkan di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, pagi ini.
Perkara itu, yang dikongsikan Diana menerusi sebuah hantaran di InstaStory turut menyifatkan Farid berlaku zalim sekiranya aktor itu memanjangkan proses perceraian tersebut.
“Jika dia memutuskan untuk memanjangkan proses perceraian ini, dia zalim. Saya telah habiskan satu tahun untuk cuba berdamai dan perbaiki keadaan.
“Kami menghadapi ambang kehancuran berkali-kali. Jangan berpura-pura tiada sebarang usaha sejak bulan-bulan sebelumnya.
“Saya terus percaya dan berusaha, tetapi sekarang, dia kejam jika berkeras untuk mengikat saya sehingga proses hakam,” katanya menerusi hantaran di InstaStory.
Tambah pelakon filem Imaginur itu, dia kekal dengan pendiriannya yang enggan dipujuk dan mahu berpisah dengan Farid selepas memberinya peluang buat kali kedua sejak setahun yang lalu.
“Saya tidak mahu meneruskan perkahwinan ini. Niat saya jelas, dan tidak ada perkara lain yang saya mahu kecuali tidak lagi berada bawah tanggungjawabnya. Lepaskan saya,” tegasnya.
Dalam perkongsian lain, Diana turut membakar surat yang dipercayai kiriman Farid sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-12 tahun hari ini.
“Surat penipuan ini tiada tempat dalam hati saya,” katanya.
Terdahulu, Farid menerusi satu hantaran di platform yang sama, memujuk isterinya sempena ulang tahun perkahwinan mereka sekali gus berharap hubungan mereka utuh hingga ke syurga.
Farid bagaimanapun menyerahkan perjalanan rumah tangga mereka kepada ketentuan Sang Pencipta.
Terdahulu, Diana mengejutkan ramai pihak apabila nekad mahu berpisah dengan pelakon Lagenda Budak Setan itu.
Farid bagaimanapun mengulangi pendirian untuk tidak melepaskan Diana dan menganggap pergolakan rumah tanggannya hanyalah perselisihan faham kecil, justeru mahu mempertahankan perkahwinan.
Untuk rekod, Diana dan Farid pernah bercerai talak satu menerusi Google Meet pada 10 Ogos lalu, namun kembali rujuk selepas satu bulan berpisah. -UTUSAN