GEORGE TOWN : Seorang lelaki warga Perancis yang dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol ditahan selepas mengeluarkan kata-kata kesat terhadap polis di Bayan Indah di sini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, lelaki berusia 29 tahun itu ditahan dalam satu sekatan jalan raya di kawasan terbabit.
“Ketika anggota polis menjalankan sekatan jalan raya di Bayan Indah, mereka telah mengarahkan pemandu sebuah Honda CRZ untuk memberhentikan kenderaan bagi diperiksa.
“Ketika diperiksa, lelaki warga asing itu bagaimanapun bertindak agresif dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan menolak anggota polis tersebut,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Sazalee, lelaki berkenaan kemudian dibawa ke Balai Polis Bayan Lepas selepas ditahan dan hasil ujian mendapati, dia didapati memandu di bawah pengaruh alkohol.
“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya.