KUALA LUMPUR: Seorang lelaki bukan sahaja kerugian RM138,000 malah telah diperdayakan oleh scammer menjadi ejen untuk mencari mangsa lain.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, eksekutif sebuah syarikat swasta berusia 37 tahun itu membuat laporan polis pada 28 Oktober lalu selepas mendapati dirinya menjadi mangsa penipuan.
“Menurut laporan mangsa, dia menerima panggilan pada pertengahan Oktober llu daripada individu yang mendakwa wakil syarikat e-dagang sebuah platform beli belah dalam talian.
“Individu itu menuduh nombor telefon mangsa telah digunakan dalam aktiviti penjualan barangan terlarang. Walaupun mangsa menafikan dakwaan itu, panggilan tersebut kemudiannya disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis.
“Mangsa diarah memindahkan RM38,000 ke akaun bank tertentu untuk tujuan ‘siasatan.’ Mangsa turut diminta menyerahkan wang tunai RM100,000 kepada seorang individu yang bertemu dengannya secara bersemuka,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini, hari ini.
Hasil siasatan polis mendapati individu yang bersemuka dengan mangsa merupakan seorang wanita yang turut menjadi mangsa sindiket phone scam tersebut.
Wanita itu ditahan untuk siasatan dan didapati telah diperdaya oleh sindiket sejak Ogos lalu.
Sindiket berkenaan mengarahkan wanita itu melapor diri setiap tiga jam dan membuat pinjaman bank berjumlah RM89,000 yang kemudian dipindahkan ke akaun tertentu.
Wanita tersebut juga diarahkan oleh sindiket untuk mengambil wang tunai RM100,000 daripada mangsa lelaki dan memindahkannya ke empat akaun bank berbeza.
Pemeriksaan terhadap telefon bimbit wanita itu membongkar penglibatannya sebagai mangsa yang dipergunakan oleh sindiket.
Dia kini dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan diteruskan.
“Kes ini adalah contoh bagaimana sindiket phone scam semakin bijak memanipulasi psikologi mangsa sehingga mereka tidak sedar dipergunakan sebagai sebahagian daripada rangkaian penipuan tersebut,” jelas Ramli.
Menurutnya, jika sebelum ini ancaman phone scam hanya berkisar kepada kehilangan wang, kini mangsa boleh diperdaya untuk menjadi ‘ejen’ sindiket tanpa disedari. – UTUSAN