DUNGUN: Seorang penebang pokok warga Indonesia maut selepas dihempap sebatang pokok ketika sedang melakukan kerja-kerja penebangan di kawasan pembalakan di Hulu Paka, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, Daeng Latif Daeng Nurun, 54, meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran kecederaan di bahagian kepala dan kaki.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktafi Billah Shah, Penolong Penguasa Bomba Noor Fadzly@Rudy Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 2.34 petang sebelum menggerakkan sembilan anggota ke lokasi kejadian.
“Ketika tiba, kita dapati kepala mangsa dihempap sebatang pokok meranti yang dianggarkan berukuran 250 sentimeter ukur lilit dan kaki mangsa turut tersepit pada batang pokok yang tumbang itu.
“Pokok yang menimpa mangsa bukan pokok yang ditebang, tetapi pokok kecil lain yang tertimpa mangsa ketika sedang melakukan kerja-kerja penebangan pokok lain,” katanya ketika dihubungi hari ini. – UTUSAN