KUALA PILAH: Seorang lelaki yang disyaki menggunakan wang kertas palsu RM100 di sekitar pekan Kuala Pilah, Ahad lalu, ditangkap polis di Senawang, Seremban semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Abd Gani berkata, suspek berusia 23 tahun itu kini direman empat hari bermula hari ini bagi melengkapkan siasatan kes mengikut Seksyen 489 (B) Kanun Keseksaan.
Katanya pihak polis masih mengesan rakan suspek yang dipercayai turut terlibat dalam kes berkenaan.
Baru-baru ini media melaporkan, beberapa peniaga di pekan Kuala Pilah, mendakwa menerima wang palsu bernilai RM100 daripada seorang lelaki tidak dikenali ketika berurus niaga dalam kejadian pada 17 November lalu melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV). – UTUSAN