GERIK: Seorang lelaki ditemukan mati dalam keadaan tergantung pada dahan pokok di kawasan dusun di Kampung Jagor, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, mayat lelaki berusia 57 tahun itu dijumpai orang awam yang kemudian membuat laporan polis pada pukul 9.15 pagi.
“Pemeriksaan ke atas lelaki itu dilakukan oleh pegawai kesihatan Hospital Gerik dan mangsa disahkan telah meninggal dunia.
“Hasil pemeriksaan polis di lokasi kejadian dan berdasarkan keadaan fizikal mangsa, tidak menjumpai sebarang kesan atau unsur jenayah,” katanya.
Tambah beliau, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – UTUSAN