IPOH: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh ibu saudaranya, minggu lalu.
Tertuduh, Lee Hao Yi, 21, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Siti Nora Sharif.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Lee Huey Ting, 54, di sebuah rumah di Jalan Pengkalan Barat 25, Taman Puteri Lindungan Bintang dalam daerah Kinta, Perak pada pukul 1 pagi, 6 November 2024 hingga pukul 8.25 pagi, 10 November 2024.
Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Syaza Ariffin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Februari depan.
Menerusi laporan media pada 10 November lalu, mayat seorang wanita ditemukan hampir reput dalam bilik di sebuah rumah selepas polis menerima maklumat awam pada pukul 8.31 pagi.
Susulan penemuan itu, seorang lelaki yang juga anak saudara mangsa dan tinggal bersama wanita itu ditahan bagi membantu siasatan.
Difahamkan, mangsa telah ditumbuk berkali-kali oleh lelaki terbabit sehingga jatuh tangga dan pengsan seterusnya dikurung dalam bilik sebelum kejadian itu terbongkar apabila abang wanita itu datang ke rumah dan terhidu bau busuk.
Motif suspek bertindak demikian kerana berang selepas sering dikongkong oleh ibu saudaranya. – UTUSAN