PETALING JAYA: Lelaki yang dipercayai membunuh ibunya apabila mayat wanita terbabit ditemukan dalam peti sejuk beku pada 12 November lalu di Taman OUG dekat sini akan dituduh di mahkamah esok.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, tempoh reman suspek berusia 50-an itu akan tamat esok.
Katanya, kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) hari ini.
“Kita telah mendapat arahan untuk menuduh suspek esok di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Sepanjang siasatan dijalankan, kita telah merakam percakapan seramai 13 saksi untuk membantu siasatan dalam kes ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan lelaki yang disyaki membunuh dan menyumbat mayat ibu kandungnya dalam peti sejuk beku selama tiga tahun ditahan reman sehingga 26 November ini.
Rusdi dilapor berkata, suspek sebelum ini dirawat di Hospital Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sejak hari dia ditangkap akibat sakit kronik.
Laporan bedah siasat awal forensik PPUM ke atas mayat wanita warga emas berusia 80-an mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan pada dada akibat objek.
Pada 12 November lalu, media melaporkan memetik sumber, suspek dipercayai menumbuk ibunya sehingga mati sebelum mayat warga emas itu dibalut dengan tuala dan kain kemudian disumbat dalam peti sejuk beku.
Sumber dilapor berkata, suspek mendakwa dia membunuh ibunya pada Mac 2021 sebelum menyembunyikan mayat ibunya dalam peti sejuk beku selama tiga tahun.
Selepas lebih tiga tahun, katanya, mayat mangsa ditemukan selepas kediaman suspek diperiksa sepasukan polis yang menerima laporan berhubung perkara itu apabila pada 9 pagi.
“Suspek yang berusia 50-an dipercayai membunuh ibu kandungnya yang berusia 80-an kerana mahu wanita itu ‘masuk syurga’.
Difahamkan, suspek sendiri menghubungi talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan kerana dia tidak sihat sebelum membongkar rahsia mengenai keberadaan mayat ibunya dalam rumah. – UTUSAN