PETALING JAYA: Lelaki dipercayai membunuh ibu kandungnya dan menyimpan mayat dalam peti sejuk beku di kediamannya di Taman OUG di sini sejak tiga tahun lalu, direman tujuh hari hingga 19 November ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, siasatan mendapati suspek berusia 53 tahun yang juga penganggur, tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Bagaimanapun, polis masih menunggu laporan pihak hospital mengenai status kesihatan suspek.
“Buat masa ini, keputusan proses bedah siasat ke atas mayat mangsa juga masih belum diperoleh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk sama ada mangsa dibunuh dan motif pembunuhan itu.
“Suspek sendiri yang membuat panggilan bagi menyerah diri dan tindakan suspek serah diri kepada polis masih dalam siasatan,” katanya.
Media semalam melaporkan, seorang lelaki dipercayai membunuh ibu dan menyimpan mayat wanita itu di dalam peti sejuk beku sejak tiga tahun lalu.
Perbuatan lelaki berusia 50-an terbongkar apabila pihak polis menerima panggilan daripada suspek pada 9 pagi sebelum pemeriksaan dijalankan di kediamannya di Jalan Hujan Abu 6, Taman OUG di sini.
Suspek dipercayai menumbuk ibunya sehingga mati sebelum mayatnya dibalut dengan tuala dan kain kemudian disumbat dalam peti sejuk beku.
Sumber dipetik berkata, suspek mendakwa membunuh wanita warga emas berusia 80-an terbabit pada Mac 2021.- UTUSAN