PUTRAJAYA: Lebih RM5.5 bilion berjaya direkodkan melalui pelaksanaan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) menerusi inisiatif pemerkasaan produk tempatan di dalam industri peruncitan tempatan.
Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Adiratno Che Ani berkata, usaha itu dijayakan melalui rakan-rakan strategik kementerian sepanjang tahun lalu.
Menurut beliau, prestasi ini menunjukkan peningkatan sebanyak 103.2 peratus berbanding tahun 2022.
“Ia adalah satu perkembangan positif dan saya yakin nilai jualan ini pasti akan meningkat dengan adanya penglibatan semua pihak dalam pelaksanaan kempen ini.
“Saya ingin menyeru kepada para rakan strategik KPDN supaya sentiasa bersama-sama dengan pihak kementerian untuk membudayakan KBBM secara sukarela di premis masing-masing,” katanya ketika melancarkan KBBM anjuran Aeon Big (M) Sdn. Bhd & Aeon Co. (M) Berhad. di Aeon Big Almanda, Putrajaya, di sini hari ini.
Adiratno berkata, pihak rakan strategik boleh mengutamakan penembusan pasaran produk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan ke pasaran tempatan.
Katanya, langkah ini dengan mempergiatkan promosi KBBM di platform fizikal seperti meletakkan produk Malaysia di rak-rak eksklusif, pemberian baucer bagi setiap pembelian produk tempatan dan memanfaatkan platform dalam talian seperti (e-dagang).
“Ini bagi memperkenalkan keistimewaan produk Malaysia kepada rakyat Malaysia dan masyarakat luar negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Aeon Big (M) Sdn. Bhd & Aeon Co. (M) Berhad turut mengambil tempat pada tahun ini untuk turut melaksanakan inisiatif ini setelah hampir dua tahun tidak terlibat dengan kempen ini.
Katanya, pencapaian Aeon Co. (M) Berhad pada tahun 2021 berupaya merekodkan nilai jualan berjumlah RM6.3 juta dengan melibatkan 561 jumlah bilangan unit simpanan stok (SKU).
“Pada tahun 2022 Aeon Big (M) Sdn. Bhd pula mencatatkan nilai jualan RM1.07 juta bagi 356 SKU.
“hasil jualan dan SKU melalui inisiatif KBBM ini menunjukkan bahawa pihak Aeon amat komited dalam membantu produk para usahawan tempatan untuk terus dipasarkan di rangkaian pasaraya besar ini,” katanya. – UTUSAN