PETALING JAYA: Lebih 6,000 orang hadir ke kaunter kompaun saman trafik bagi merebut tawaran diskaun 60 peratus ke atas saman terpilih sempena Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 bermula hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, 25 kaunter dibuka bagi menampung kehadiran tersebut dengan tujuh daripadanya disediakan khusus untuk ibu mengandung, warga emas dan komuniti OKU.
Selain itu katanya, seramai 55 pegawai ditugaskan bagi mempermudah urusan pembayaran saman ini.
“Lapan petugas diarahkan membantu mereka dalam barisan dengan memberi kod baucer bagi proses bayaran atas talian melalui MyBayar.
“Melalui cara ini, mereka tidak perlu beratur lama dan boleh keluar barisan selepas peroleh kod itu,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan diskaun sehingga 60 peratus ke atas saman trafik terpilih sempena Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 bermula Jumaat sehingga Ahad ini
Mengulas lanjut, Mohd. Zamzuri berkata, tempoh proses tersebut bergantung kepada dengan jumlah saman yang diterima mereka.
Katanya, hanya 10 saman dibenarkan untuk setiap pengunjung yang mahu merebut tawaran ini.
“Kita sarankan agar pengunjung yang datang membawa saman ahli keluarga sendiri bagi menjimatkan masa dan tenaga,” jelasnya. – UTUSAN