PUTRAJAYA: Setelah kali terakhir diadakan pada 2019 lalu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menganjurkan semula Larian & Jalan Malam TNB 2024 di Anjung Floria di sini.
Acara itu malah menerima sambutan hebat disertai lebih 4,500 peserta yang diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-75 syarikat utiliti itu pada 1 September lepas.
Pelepasan para peserta terbabit telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof yang kemudiannya menyertai acara jalan diadakan sejauh 3.5 kilometer.
Turut hadir menyaksikan acara itu ialah Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan.
Acara secara santai itu bertemakan Meraikan Kemajuan, Melakar Masa Hadapan’ selari dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus yang dilaksanakan TNB serta menunjukkan komitmen syarikat mempromosikan amalan kecekapan.
Aktiviti sedemikian menyerlahkan kepentingan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan komuniti serta nilai kelestarian yang menjadi amalan rakyat.
“TNB turut mengambil langkah proaktif seperti penggunaan pencahayaan cekap tenaga sepanjang acara berlangsung sebagai komitmen ke atas aspek kelestarian alam,” tegasnya. – UTUSAN