PETALING JAYA: Seluas 38,376.78 hektar kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) digondolkan secara haram di seluruh Semenanjung Malaysia setakat 31 Disember tahun lalu.
Secara keseluruhannya, sebanyak 1,074 lokasi dikesan diteroka secara haram dengan pelbagai aktiviti seperti pertanian termasuk penanaman pokok kelapa sawit, pisang, getah, durian, dokong, koko, sayuran dan lain-lain.
Selain itu, penerokaan hutan simpan secara haram juga turut melibatkan aktiviti perlombongan, penempatan, pembinaan bangunan, jeti, akuakultur, tanah perkuburan, kawasan rekreasi, gerai makan dan bangunan keagamaan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kementeriannya melalui Jabatan Perhutanan Negeri-Negeri mengambil langkah proaktif dalam membanteras aktiviti penerokaan atau pencerobohan haram dalam kawasan HSK.
Katanya, antara langkah diambil adalah memperkasakan operasi Pusat Pemantauan Sumber Hutan sebagai sebuah hub berpusat di Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) yang bertujuan memantau sumber hutan negara.
“Pemantauan dilaksanakan melalui sistem Forest Monitoring using Remote Sensing (FMRS) bagi mengesan sebarang perubahan litupan kawasan berhutan yang berlaku di dalam HSK.
“Jabatan Perhutanan juga melaksanakan inisiatif Continuous Monitoring of Surveillance (COMOS) yang dibangunkan oleh Jabatan Hutan Sarawak di mana sistem ini berupaya untuk menggabungkan analisis imej satelit setiap minggu, menentusahkan titik koordinat di lapangan menggunakan pesawat hyperspectral yang dilengkapi kamera dan seterusnya maklumat disalurkan kepada pasukan di lapangan untuk tindakan penguatkuasaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulisnya kepada pertanyaan Datuk Seri Dr. Shahidan Kasim (PN – Arau) yang bertanyakan keluasan kawasan HSK yang diceroboh dan apa langkah penguatkuasaan diambil kementerian untuk menanganinya.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, Jabatan Perhutanan turut menggunakan menggunakan imej satelit sebagai langkah pemantauan Jarak jauh melalui ssstem aplikasi iForSabah yang dibangunkan oleh Jabatan Perhutanan Sabah dan Agensi Angkasa Malaysia untuk mengesan sebarang perubahan yang berlaku dalam kawasan hutan simpan di Sabah
“Pada masa sama, memperkasa perundangan perhutanan melalui Akta Perhutanan Negara (pindaan) 2022 yang telah diwarta pada 20 September 2022 bagi memperkukuhkan kuasa pegawai penguatkuasaan dalam membanteras jenayah hutan dan meningkatkan kadar jumlah denda dan hukuman ke atas pesalah,” katanya.
Nik Nazmi berkata, bagi aktiviti penanaman semula, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM100 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 dan Rancangan Malaysia Ke-12 bagi pelaksanaan Program Restorasi, Tebus Guna dan Pemuliharaan Kawasan Hutan Terosot di Semenanjung Malaysia.
“Ia melibatkan seluas 1,640 hektar kawasan hutan terosot akibat penerokaan atau bencana alam.
“Sehingga kini, seluas 1,235 hektar kawasan hutan terosot telah dipulihkan dengan penanaman sebanyak 731,176 pokok hutan pelbagai spesies melibatkan kawasan hutan terosot yang berada di dalam dan luar kawasan HSK,” katanya. – UTUSAN