SEGAMAT: Lebih 30 rumah dan sebuah sekolah di Parlimen Sekijang, dekat sini rosak akibat ribut dan hujan lebat petang, semalam.
Dalam kejadian bermula pukul 3.30 petang itu, dua kenderaan, termasuk sebuah motosikal jenis SYM dan sebuah kenderaan Nissan Grand Livina turut dilaporkan rosak dihempap pokok tumbang di Kampung Bukit Lintang, di sini.
Kejadian itu turut menyebabkan sebuah bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tengah rosak apabila atap bilik kelas rosak diterbangkan angin kencang.
Selain itu, kejadian turut menjejaskan sebahagian struktur kediaman penduduk dan antara yang terjejas adalah Kampung Mengkudu, Kampung Tengah, Kampung Gubah, Kampung Bukit Lintang, Kampung Sulir dan Kampung Pekan Jabi.
Walau bagaimanapun, kejadian ini tidak menyebabkan sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sekijang, Dr. Zaliha Mustafa memberi jaminan bantuan segera akan diberikan kepada mangsa.
“Semakan akan dibuat bersama-sama Pejabat Daerah Segamat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Segamat terlebih dahulu bagi mengenal pasti jumlah sebenar mangsa ribut susulan terdapat mangsa yang mungkin belum sempat memaklumkan kejadian kepada agensi berkaitan dan Pejabat Parlimen Sekijang.
“Pihak kami akan memastikan tiada mangsa yang tercicir menerima bantuan dan diharapkan bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban penduduk yang terkesan,” katanya.-UTUSAN