KUALA LUMPUR: Lebih 200 ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat-handai termasuk pemimpin negara dan politik mengiringi perjalanan terakhir Tun Daim Zainuddin yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Bukit Kiara 1 kira-kira 6.06 petang semalam.
Jenazah Allahyarham terlebih dahulu disolatkan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta selepas solat asar. Ia diimamkan oleh anak saudara Allahyarham, Amir Imran.
Solat jenazah turut disertai bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tan Sri Muhyidddin Yassin; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa.
Balu Allahyarham, Toh Puan Na’imah Khalid, mengucapkan terima kasih atas sokongan dan doa rakyat Malaysia untuk Daim.
“Kami akan keluarkan kenyataan dalam masa terdekat. Ini adalah masa sukar untuk kami sekeluarga hadapi.
“Kita manusia kerdil tidak lari dari melakukan kesilapan. Mohon terus doakan agar roh beliau ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya ketika ditemui semasa majlis pengebumian.
Allahyarham Daim disahkan meninggal dunia pada usia 86 tahun kira-kira pukul 8.30 pagi semalam di Hospital Assunta, Petaling Jaya.
Daim berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dua kali, yang pertama dari 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di mana beliau memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi Malaysia dan melaksanakan pelarasan struktur.
Beliau kemudian kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi di bawah Dr. Mahathir, untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia ketika itu.
Dilahirkan pada 29 April 1938 di Kedah, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama lima penggal antara 1982 dan 2004. – UTUSAN