PUTRAJAYA: Jumlah pelajar antarabangsa yang kini menuntut di pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara dilaporkan sudah mencecah seramai 167,000 orang.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, kesemua penuntut antarabangsa yang belajar dalam pelbagai jurusan termasuk di IPT swasta itu terdiri daripada 179 buah negara.
“Jumlah itu sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia 2015-2025 yang menyasarkan kemasukan kira-kira 250,000 pelajar antarabangsa bagi setiap tahun.
“Perangkaan terbaharu sepanjang tahun ini menunjukkan ada peningkatan lebih 30 peratus berbanding 104,315 penuntut asing yang direkodkan pada tahun lepas,” katanya ketika merasmikan program Meet And Greet with International Students in Malaysia, di sini petang tadi.
Katanya, beliau turut menyokong usaha beberapa buah IPT awam membuka kampus pesisir di luar negara antaranya di Qatar dan Indonesia yang melonjakkan imej baik Malaysia.
“Saya juga difahamkan untuk tahun depan pula, banyak lagi negara akan ada fasiliti ini seperti di rantau Asia Tengah dan beberapa bandar besar di China sendiri.
“Usaha berkenaan juga selasas dengan dasar Kementerian Pendidikan Tinggi yang berhasrat mengantarabangsakan pengajian tertiari di Malaysia menjelang 2030 kelak,” katanya. – UTUSAN