KUALA KANGSAR: Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah yang diadakan di Dataran Pavillion di sini hari ini, mendapat sambutan hebat apabila berjaya menarik penyertaaan lebih 12,000 peserta.
Tambah meriah apabila Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berangkat mencemar duli menyertai acara larian tersebut.
Turut menyertai baginda berdua ialah anakanda, Raja Nazira Safya.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer Zubin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid.
Terdahulu, baginda turut berkenan menyempurnakan upacara pelepasan
peserta bagi kategori 15 kilometer (5,579 orang), 10 kilometer (4,623 orang) dan tujuh kilometer (1,418 orang).
Bagi pelepasan peserta larian kategori orang kenamaan sejauh tiga kilometer (KM) pula disempurnakan adinda baginda, Raja Datuk Seri Yong Sofia.
Selepas acara larian tersebut, baginda berdua turut disajikan dengan alunan pancaragam daripada pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford, Kuala Kangsar serta persembahan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Tuanku Zara kemudian berkenan menyempurnakan acara penyampaian hadiah kepada semua pemenang.
Pelbagai pameran dan persembahan diadakan sepanjang trek larian yang membabitkan kawasan kampung sekitar Mukim Sayong dan Kota Lama Kanan, serta Jambatan Sultan Abdul Jalil Shah.
Antaranya persembahan rebana, tarian Sewang Orang Asli, demo kerbau memajak, gendang Cina dan India, serta demo penghasilan pelbagai kraftangan seperti seramik dan tudung saji.
Tahun lalu, Taiping dipilih sebagai lokasi penganjuran larian edisi ke-12 sempena sambutan ulang tahun ke-150 bandar Taiping sebagai Bandar Warisan pada 2024 dan tahun ini, larian edisi ke-13 itu kembali semula diadakan di Bandar Diraja Kuala Kangsar. – UTUSAN