Lawatan rasmi sulung Anwar ke Peru, hadiri mesyuarat AELW

Lawatan rasmi sulung Anwar ke Peru, hadiri mesyuarat AELW

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan rasmi ke Lima, Peru pada esok bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) ke-31 yang akan berlangsung dari 14 hingga 16 November ini.

Menurut Kementerian Luar, lawatan rasmi ini merupakan lawatan sulung Perdana Menteri ke rantau Amerika Latin dan turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra bagi membincangkan kerjasama dua hala antara dua negara.

“(Perbincangan turut melibatkan) bidang perdagangan dan pelaburan serta industri halal, dan juga mengukuhkan hubungan persahabatan antara kedua negara.

“Kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan di forum serantau dan pelbagai hala, khususnya ASEAN dan APEC, serta akan menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wisma Putra berkata, Perdana Menteri juga dijadual untuk mengadakan perbincangan meja bulat dengan kapten industri Peru bagi mempromosikan peluang perniagaan, khususnya dalam sektor tenaga boleh baharu dan industri digital.

Bertemakan “Empower. Include. Grow.”, Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC di bawah kepengerusian Peru, akan memfokuskan kepada pengukuhan hubungan perdagangan dan pelaburan.

“Ini termasuk inovasi; pendigitalan; dan pertumbuhan mampan.

“Ini merupakan kali ketiga Kerajaan Peru menjadi tuan rumah kepada AELM, selepas tahun 2008 dan 2016,” katanya.

Penglibatan Perdana Menteri di AELM termasuk menghadiri Sidang Kemuncak CEO APEC adalah sebagai ahli panel dalam sesi bertema “Opportunities and Challenges in the AI Revolution”.

Kata Wisma Putra, Anwar juga akan menyertai Dialog Tidak Rasmi Pemimpin APEC Dengan Tetamu dan Dialog Pemimpin Ekonomi APEC bersama Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) selain membuat Pencelahan semasa Sesi Pemukiman AELM.

“Di sela-sela AELM, Perdana Menteri juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan-rakan sejawatnya dari Ekonomi APEC yang lain.

“Sepanjang lawatan beliau, Perdana Menteri akan berkongsi keutamaan-keutamaan Malaysia di bawah Kerangka Ekonomi Madani yang menekankan keterangkuman, pembangunan mampan, dan pengukuhan kerjasama untuk manfaat semua,” katanya.

Sebagai salah sebuah ekonomi pengasas APEC, penyertaan aktif Malaysia dalam Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC mencerminkan komitmen berterusan negara dalam memajukan kerjasama ekonomi, mempromosikan kesejahteraan bersama, dan mendorong pembangunan inklusif di seluruh rantau Asia Pasifik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya