PUTRAJAYA: Kerajaan dapat menjimatkan hampir RM1 juta membabitkan kos penerbangan bagi lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke lima negara, baru-baru ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan hanya menanggung kos kira-kira RM1.662 juta untuk membiayai perjalanan Anwar serta delegasi rasmi kerajaan, berbanding RM2.5 juta jika menggunakan pesawat rasmi sedia ada.
“Jumlah kos penerbangan sewaan khas pesawat Malaysia Airlines jenis Airbus A350 adalah sebanyak RM6.162 juta. Kos yang dibiayai Kerajaan Malaysia untuk delegasi rasmi berjumlah RM1.662 juta bersamaan dengan 27 peratus daripada kos keseluruhan.
“Manakala, delegasi perniagaan membayar 73 peratus daripada jumlah tersebut iaitu RM4.5 juta,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.
Sebelum ini, Anwar melakukan lawatan kerja ke China dari 4 hingga 7 November lalu atas jemputan daripada rakan sejawatnya Li Qiang untuk menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China ketujuh (CIIE ke-7) di Shanghai.
Selepas itu, Perdana Menteri mengadakan lawatan ke Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil bermula 9 November sehingga Rabu lalu.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan turut menegaskan bahawa perjalanan lawatan rasmi Perdana Menteri tidak dibiayai oleh mana-mana syarikat dan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
“Yang berlaku adalah dengan sewaan khas pesawat ini, pihak kerajaan mendapati ada penjimatan jika dibandingkan dengan pesawat sedia ada yang jumlah kosnya akan mencecah RM2.5 juta, bermaksud ada penjimatan lebih RM900,000, tetapi pihak kerajaan tetap mengeluarkan kos iaitu sebanyak RM1.662 juta itu.
“Manakala, bagi semua urusan sama ada penginapan, makanan atau pengangkutan di pihak kerajaan semua diuruskan oleh kerajaan (sendiri) atau pun penganjur bagi acara seperti APEC dan G20,” ujarnya.
Jelas beliau, delegasi perniagaan yang mengikuti rombongan lawatan tersebut membayar tiket penerbangan mereka sendiri.
“Delegasi perniagaan yang menyertai lawatan ini adalah sepenuhnya dibiayai oleh syarikat-syarikat itu sendiri. Dan ia mencerminkan minat kukuh syarikat-syarikat Malaysia terhadap peluang perdagangan dan pelaburan di negara-negara dan juga rantau yang telah dilawati itu.
“Contohnya seperti Petronas yang mempunyai pelaburan sehingga AS$6 bilion di Brazil, maka mereka turut serta dalam rombongan tapi mereka membayar tiket sendiri,” katanya. – UTUSAN