PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan rasmi ke Korea Selatan bermula hari ini hingga 26 November, bagi mengukukuhkan hubungan antara kedua-dua negara.
Lawatan rasmi atas jemputan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol itu merupakan kunjungan rasmi pertama Anwar ke negara berkenaan selepas menjawat jawatan Perdana Menteri pada 2022.
Kementerian Luar berkata, menerusi lawatan itu, Anwar akan mengadakan mesyuarat dua hala bersama Yoon di Pejabat Presiden Yongsan.
“Kedua-dua pemimpin akan menilai hubungan dua hala antara Malaysia dan Korea yang telah berkembang maju daripada segi skop dan intipati sejak penubuhan hubungan diplomatik pada tahun 1960.
“Kedua-dua pemimpin juga dijangka berbincang isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama serta bertukar pandangan mengenai kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dan kepengerusian APEC-Korea 2025,” katanya hari ini.
Pada masa sama, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU) dalam Bidang Pendidikan Tinggi, Kerjasama dalam Bidang Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon serta Kerjasama dalam Pendekatan Kerjasama (di bawah Artikel 6, Perenggan 2 Perjanjian Paris).
Kementerian Luar berkata, Anwar juga dijadualkan menghadiri Forum Perniagaan Malaysia-Korea dan mengadakan pertemuan dengan kapten industri syarikat-syarikat terkemuka Korea.
“Perdana Menteri juga dijadualkan untuk menyampaikan ucapan khas bertajuk Strategic Partners in a Complex World: Malaysia, Korea, and the Future of Asia di Seoul National University,” katanya.
Untuk rekod, dari Januari hingga September 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan Republik Korea sebanyak RM81.61 bilion (AS$17.63 bilion).
Manakala, dari 1980 hingga Jun 2024, sebanyak 392 projek sektor pembuatan dengan kepentingan Republik Korea telah dilaksanakan di Malaysia dengan nilai pelaburan mencecah RM43.10 bilion (AS$11.50 bilion).
Pada tahun 2023, Republik Korea merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan sebanyak RM111.07 bilion (AS$24.35 bilion). – UTUSAN