KUALA LUMPUR: Lawatan Perdana Menteri ke Peru membuka peluang eksport bernilai RM1.24 bilion.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lawatan sulungnya ke Peru bukan sekadar mengeratkan hubungan diplomatik tetapi turut membuka peluang eksport.
Kata beliau, beberapa syarikat di Peru menunjukkan minat mendalam terhadap produk Malaysia, antaranya bahan binaan berasaskan keluli dan kaca, peralatan dan perubatan, minyak sawit, bahan kimia, serta makanan dan minuman.
“Kerajaan Madani optimis dalam memastikan semua peluang pelaburan dan perdagangan ini direalisasikan dengan segera bagi manfaat bersama,” katanya di dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Anwar bersama delegasi Malaysia kini meneruskan perjalanan ke Rio de Janeiro, Brazil bagi memenuhi undangan Presiden Luiz Inacio Lula da Silva untuk menghadiri Sidang Kemuncak G20.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, beliau mengajak rakan-rakan pimpinan untuk menjadikan Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2024 sebagai titik perubahan untuk bangkit sebagai peneraju dalam membentuk rantai Asia Pasifik yang inklusif, inovatif dan berdaya tahan.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Peru sempena berakhirnya lawatannya di negara tersebut.
“Penghargaan saya kepada Kerajaan Peru atas layanan yang cukup sempurna kepada delegasi Malaysia selain anugerah pingat ‘El Sol del Peru’ yang saya terima bagi pihak seluruh rakyat.
“Tidak lupa juga kepada kementerian, agensi kerajaan, pihak kedutaan serta rakan-rakan media yang bersama dalam memastikan lawatan ini berhasil,” katanya.- UTUSAN