PETALING JAYA: Sebanyak RM32.8 bilion potensi pelaburan diraih Malaysia selepas Perdana Menteri melakukan lawatan rasmi tiga hari ke Korea Selatan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lawatan kerja beliau itu juga menyaksikan eksport dari Malaysia bernilai RM1.3 bilion.
Kata beliau, Malaysia dan Korea Selatan memberikan penekanan kepada pembangunan industri halal secara menyeluruh selain memberi tumpuan kepada industri-industri baharu.
“Setakat ini potensi pelaburan ialah RM32.8 bilion, dengan eksport segera dari Malaysia mencecah RM1.3 bilion. Halal memang diberikan penekanan. Saya dan Presiden Yoon (Suk Yeol) memberikan penekanan kepada industri halal.
“Bukan sahaja pensijilan, tetapi industrinya. Sama ada kita import, dan banyak juga kita eksport. Menarik kerana barangan halal itu bukan sahaja diterima baik oleh orang Islam di Korea, bahkan rakyat Korea secara umum. Sebab itu nilai eksport itu mencecah sehingga RM5 bilion,” kata beliau dalam sidang media tertutup bersama wakil media Malaysia di Seoul, Korea Selatan.
Anwar mengakhiri lawatan kerja di Korea Selatan hari ini yang bermula sejak Ahad lalu. Dalam lawatan tersebut beliau diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Turut menyertai delegasi adalah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan para pegawai kanan kerajaan Malaysia yang lain.
Dalam pada itu, Anwar berkata, pertemuannya dengan Yoon bukan sahaja mengeratkan hubungan dua hala tetapi turut mengangkat martabat negara melalui penghargaan yang dizahirkan oleh Presiden Korea Selatan terhadap sokongan ditunjukkan Malaysia dalam isu berkaitan Semenanjung Korea.
“Presiden Yoon mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada kita yang memberi dukungan kepada dia untuk bergerak ke arah penyatuan Korea. Daripada permusuhan dan perbalahan, lebih baik mereka bergerak ke arah penyatuan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Anwar yang juga Menteri Kewangan itu turut memaklumkan sempena kepengerusian ASEAN oleh Malaysia dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) oleh Korea Selatan, satu festival music akan diadakan pada Jun 2025.
“Malaysia akan mempengerusikan ASEAN dan Republik Korea akan menyelaraskan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC). Jurang masa agak dekat. Sebaik selesai ASEAN, semua (pemimpin) akan bertolak ke Seoul untuk APEC.
“Maka beberapa kerjasama dan perbincangan akan diadakan. Kita juga tingkatkan kerjasama melalui satu Festival Muzik Korea-ASEAN pada Jun 2025, dengan kerjasama pemerintah Korea dan negara-negara ASEAN,” jelasnya.- UTUSAN