Lawatan PM ke Brazil buka potensi pelaburan RM6.8 bilion

Lawatan PM ke Brazil buka potensi pelaburan RM6.8 bilion

ANWAR Ibrahim (tengah) bersama pemimpin dunia pada Sidang Kemuncak G20 di Rio de Janeiro, Brazil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lawatan kerja kali pertama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Brazil membuka potensi eksport bernilai RM6.8 bilion dalam tempoh tiga hingga lima tahun ke depan.

Potensi itu hasil perbincangan Perdana Menteri dengan 28 syarikat terkemuka dan persatuan perniagaan di Brazil.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, antara produk yang dikenal pasti membabitkan industri minyak dan gas (O&G), semikonduktor, minyak sawit, komponen aeroangkasa serta produk makanan dan minuman (F&B).

“Perbincangan melibatkan 58 pemimpin industri. Dalam mesyuarat meja bulat ini, kita berjaya menghasilkan potensi eksport RM6.8 bilion (US$1.57 bilion) bagi tempoh tiga hingga lima tahun yang akan datang,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Rio de Janeiro, Brazil, semalam.

Perdana Menteri berkata, lawatan itu juga berjaya meneroka peluang kolaborasi perniagaan yang akan meningkatkan lagi hubungan perdagangan antara Malaysia dan Brazil.

Syarikat Brazil yang terlibat termasuk firma terkemuka yang telah mengimport barangan dan perkhidmatan Malaysia bernilai RM1.16 bilion (US$267.1 juta) pada 2023.

la merangkumi industri minyak O&G, tenaga boleh baharu, aeroangkasa, peranti perubatan dan penjagaan kesihatan, semikonduktor, teknologi maklumat dan komunikasi, perlombongan, industri halal, dan minyak sayuran dan lemak masak.

Sementara itu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataan  berkata, kerjasama ekonomi dua hala antara Malaysia dan Brazil diberi penekanan, khususnya dalam industri semikonduktor diberi keutamaan.

“Dua memorandum persefahaman (MoU) berkaitan industri semikonduktor sudah dimeterai membabitkan kerjasama antara MIMOS Bhd dan Institut Eldorado Brazil serta antara Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia dengan Persatuan Industri Elektrik dan Elektronik Brazil,” katanya.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Brazil bagi tempoh Januari hingga September lalu menunjukkan peningkatan sebanyak 19.8 peratus kepada RM14.83 bilion (US$3.2 bilion) berbanding RM12.38 bilion (US$2.74 bilion) bagi tempoh sama pada 2023.

Tahun lalu, Brazil muncul sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia dalam kalangan negara Amerika Latin, dengan pelaburan bernilai RM8.64 bilion (AS$2.73 bilion) membabitkan sektor makanan, getah, pengangkutan dan hab pengedaran global.

Selain itu, syarikat Malaysia seperti PETRONAS, Yinson, dan Sapura turut mengukuhkan kehadiran mereka di Brazil, dengan pelaburan dalam sektor tenaga serta minyak dan gas melebihi AS$15 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya