PETALING JAYA: Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke empat negara mengeratkan hubungan antarabangsa, selain membuka jalan dan peluang baharu demi kemakmuran rakyat dan Malaysia, ketika lanskap geopolitik dunia sarat dengan ketidaktentuan.
Menurut Anwar, beliau menyifatkan lawatan selama 11 hari itu penuh bermakna apabila Malaysia terus melangkah dengan keyakinan dan penuh tawaduk menyerlahkan semula sinaran negara ini di persada dunia.
Katanya, usaha tertumpu kepada aspek memantapkan kerjasama dalam pelaburan, perdagangan dan inisiatif bersama yang bermanfaat untuk dirasai oleh rakyat dan komuniti ASEAN secara amnya menerusi pelbagai pertemuan rasmi dan dialog.
“Apa yang paling berharga bukanlah semata-mata pencapaian atau perjanjian yang termeterai, tetapi semangat kebersamaan dan sikap masyarakat antarabangsa yang mengambil serius pandangan Malaysia, sebuah negara yang sentiasa tegas mendukung nilai keinsanan, keadilan, menjulang kecemerlangan serta inklusif,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Anwar melengkapkan lawatan rasmi ke empat negara bermula Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil sejak 9 November lalu.
Dalam rangka lawatan tersebut, Anwar mengetuai delegasi Malaysia antaranya ke Sidang Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-31 di Peru dan Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) di Brazil.
Pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi, Anwar menyeru masyarakat dunia untuk membina kesepakatan bagi menggantung atau menyingkirkan Israel daripada keanggotaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dalam pada itu, Anwar berkata, perjalanan negara masih jauh untuk meneroka peluang ekonomi baharu dan mengukuhkan kerjasama di peringkat antarabangsa.
Katanya, beliau esok akan menerima kunjungan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam di Putrajaya, dan kemudian berlepas ke Korea Selatan pada Ahad untuk terus meneroka peluang ekonomi yang baharu dan mengukuhkan kerjasama yang sedia erat antara kedua-dua negara.
“Saya dan pasukan juga sedang merangka persiapan menerima kunjungan rasmi barisan pemimpin utama dari pelbagai negara pada Disember nanti, Insya-Allah.
“Doakan agar setiap usaha ini terus diberkati dan menjadi asas trajektori baharu masa depan yang lebih cerah untuk Malaysia. Saya dan pasukan Kerajaan Madani akan terus mendengar, berkhidmat dan mengangkat darjat serta martabat rakyat serta negara di persada dunia,” katanya.-UTUSAN