Larangan sementara guna soket dalam bas ekspres

Larangan sementara guna soket dalam bas ekspres

Anthony Loke Siew Fook
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan melarang sementara penggunaan soket dalam semua bas ekspres sehingga siasatan berhubung insiden seorang remaja yang maut terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbitnya selesai dijalankan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, larangan tersebut sudah dikeluarkan kepada semua pengusaha bas ekspres oleh Agensi Pe­ngangkutan Awam Darat (APAD).

Kata beliau, ia untuk membolehkan siasatan dilakukan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan yang berlaku di Terminal bas Penang Sentral, Butterworth, baru-baru ini.

“Kita juga ada dapatkan khidmat nasihat Suruhanjaya Tenaga (ST) dan kalau ada apa-apa penambahbaikan perlu dilakukan oleh Kementerian Pengangkutan (MoT), kita bersedia bekerjasama untuk melihat balik prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dilaksanakan sebelum pendawaian atau penggunaan soket ini dibenarkan dalam bas ekspres,” kata­nya semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, semalam.

Terdahulu, Mohd. Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) mengajukan soalan tambahan kepada Anthony Loke bagi meminta penjelasan berhubung keselamatan penggunaan soket dalam bas ekspres.

Beliau berkata, ketika ini pemeriksaan terhadap soket tersebut tidak dimasukkan sebagai sebahagian daripada proses pemeriksaan usat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

“Untuk bas ini, dia ada coach builder masing-masing dan memang setakat ini dalam pemeriksaan Puspakom dan sebagainya, soket tak dimasukkan sebagai sebahagian daripada pemeriksaan tersebut,” katanya.

Selain itu, Anthony juga memaklumkan, bas ekspres terlibat didapati gagal dalam audit Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP).

Sehubungan itu, keseluruhan operasi syarikat bas ekspres itu bakal berdepan dengan tindakan penggantungan permit.

Sebelum ini, media melaporkan, seorang remaja lelaki maut dengan tangan kirinya melecur akibat terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbitnya di soket bas ekspres dalam kejadian di Terminal bas Penang Sentral, Butterworth, Pulau Pinang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya