LEMBAGA Air Perak (LAP) mendakap perubahan dan menjunjung aspirasi negara menuju
transformasi perkhidmatan teknologi digital dalam perkhidmatan dan pengurusan air kepada rakyat sebagaimana yang dititahkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Perkara itu ditekankan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semasa perasmian Mesyuarat Pertama Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak Ke-14 pada 12 Mei 2020 apabila bertitah bahawa kemajuan teknologi komunikasi maklumat (ICT) dan teknologi digital berperanan sebagai pemangkin, mempercekap sistem penyampaian serta meningkatkan produktiviti perkhidmatan dan hasil kerajaan.
Baginda menekankan bahawa era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan ekonomi digital ialah fenomena baharu yang sedang dihadapi oleh semua negara.
Kini LAP memperkenal serta mengadaptasi teknologi terkini dalam urusan hariannya.
Pengurus Besar LAP, Ir. Lokman Abd Rahim berkata, bermula pada tahun 2018, hala tuju Transformasi Digital di LAP merupakan sebahagian daripada pelan yang mengfokuskan penggunaan teknologi pintar bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dan menambah
baik kecekapan operasi harian
LAP.
Di bawah pelan pembangunan ini, LAP telah membangun dan menggunakan beberapa sistem teknologi maklumat yang berteraskan mesin ke satu mesin (M2M).
“Antara sistem teknologi maklumat yang telah berjaya dibangun dan digunakan kini adalah Sistem ESelenggara, Sistem EPerakuan, Sistem Pemantauan Kualiti Air, Sistem Pengurusan Air Tidak Berhasil dan Sistem Pengurusan Aset Bekalan Air,” katanya.
Selain itu adalah Sistem Pemetaan Digital Aset Bekalan Air, Sistem Permohonan Bekalan Air Online, Sistem Pengurusan Aduan, MyLAPApps (SistemPembayaran Bil & Aduan Online), MyLAPCareer dan (SistemPemohonan Kerja Online).
LAP juga melaksanakan Sistem Pemantauan Telemetri, Sistem Pengurusan Loji Rawatan
Air (SCADA), Sistem Kawalan Perimeter (Perimeter Fencing CCTV) dan Pengujian Penggunaan Meter Pintar.
Dengan kemajuan teknologi komunikasi kepelbagaian internet (IoT), sebahagian daripada
sistem yang telah dibangunkan ini mampu berkomunikasi dan berkongsi data secara M2M dan kemudiannya dikongsi serta dikemaskini di dalam sistem pemetaan digital atau Geographical Information System (GIS).
“Keseluruhan data yang dijana melalui kaedah pengumpulan data an data yang komprehensif dan berpusat ini dijangka mampu membantu LAP dari aspek keperluan kawal selia data-data,” kata Lokman.
Data-data itu meliputi liputan bekalan, gangguan bekalan air, kualiti air terawat, tekanan air, produksi dan pengeluaran air, kawalan kehilangan air, aduan pengguna, keberkesanan kutipan bil air, perancangan dan reka bentuk struktur bekalan air, pengurusan aset bekalan air dan pemantauan dan perakuan permohonan bekalan air.
“Diharapkan dengan semua teknologi dan sistem yang menunjangi pemodenan LAP di bawah dasar Revolusi Industri 4.0 ini dengan dibantu kewujudan teknologi BigData Business Intelligence dan Kecerdasan Buatan (AI).
“Ia membolehkan LAP membuat keputusan dengan lebih mudah, jitu, tepat, cepat dan berkesan yang sekaligus meningkatkan tahap kepuasan pengguna dan menutup jurang perkongsian data digital industri utiliti air yang ada,” kata LAP. – UTUSAN