Langkasuka: Bin Zayed tarik diri, Kedah tidak rugi apa-apa - Utusan Malaysia

Langkasuka: Bin Zayed tarik diri, Kedah tidak rugi apa-apa

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menempelak pihak tertentu termasuk segelintir ahli politik yang menyalahkan kerajaan negeri berhubung keputusan Bin Zayed International Group of Companies (BZI), menarik diri daripada projek Langkasuka bernilai RM40 bilion di Langkawi. 

Menurut Menteri Besar itu, apa yang berlaku bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan perkara tersebut telah diumumkan di Bursa Malaysia, sebelum ini dan kerajaan negeri tidak harus dipersalah kerana pelaburan itu bukan dicari mahu pun diumumkan oleh pihaknya. 

“Tarik diri itu bukan perkara baharu tetapi tidak tahulah mengapa baru berbangkit. Keputusan BZI itu pun sudah diumumkan di Bursa Malaysia kerana mereka syarikat yang disenaraikan, bukan boleh bercampur tidak tentu hala. 

“Ada pula yang marah saya dalam hal ini padahal saya bukan ada kaitan dengan BZI. Saya tidak kenal pun mereka malah projek kerjasama antara BZI dengan Widad Business Group Sdn. Bhd. diumumkan Perdana Menteri ketika itu (Tan Sri Muhyiddin Yassin) di Kuala Lumpur, bukan di Kedah. 

“Masih ramai lagi menteri masa itu yang kekal jadi menteri sekarang. Contohnya, Menteri Kewangan pada masa itu, kini Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan pengumuman projek itu pun diumumkan di Kementerian Kewangan,” katanya dalam sidang akhbar selepas membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini. 

Kelmarin, Pengarah Urusan Bin Zayed International (M) Bhd., Datuk Seri Dr. Shamir Kumar Nandy mengesahkan bahawa kumpulan itu telah menarik diri daripada projek tersebut sejak 2022 dan memberi tumpuan kepada peluang lebih baik, realistik dan potensi lebih besar. 

Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri tidak menanggung sebarang kerugian daripada tindakan BZI tersebut. 

“Fungsi kerajaan negeri hanya meluluskan pelupusan tanah mengikut undang-undang. Apabila kita lupuskan tanah, mereka bayar premium serta cukai dan selepas itu, syarikat berkenaan yang akan memainkan peranan membangunkan tanah tersebut. 

“Bayaran premium tanah itu sudah diselesaikan oleh Widad manakala fasa satu projek itu saya difahamkan sedang berjalan dengan diusahakan Widad sendiri, tetapi perlahan,” katanya. 

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, tindakan Ahli Parlimen Sungai Petani yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Dr. Mohammed Taufiq Johari menyalahkannya berhubung penarikan diri BZI itu merupakan sesuatu yang menghairankan. 

“Ini bukan projek kerajaan negeri sebaliknya projek swasta. Dah banyak kali perkara ini dibangkitkan tetapi semakin diberitahu, semakin ‘pekak’, tak reti. 

“Mereka tak dapat cari salah kita maka ulang berpuluh kali tajuk ini. Bahagian kerajaan negeri selesai apabila luluskan pelupusan tanah dan mereka bayar cukai serta premium maka apa yang berlaku selepas itu, merupakan aktiviti perniagaan mereka sebagai syarikat swasta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya