Lagu sayu ‘Ahmad’ menyentuh hati - Hetty Koes Endang - Utusan Malaysia

Lagu sayu ‘Ahmad’ menyentuh hati – Hetty Koes Endang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Penyanyi Indonesia, Hetty Koes Endang, menyifatkan lagu yang dihasilkan lagenda muzik, Allahyarham Tan Seri Ahmad Nawab mempunyai magis tersendiri.

Hetty yang kebetulan berada di Malaysia untuk program Gegar Vaganza musim ke-11 menceritakan Allahyarham memiliki kelebihan untuk menghasilkan lagu bernada sayu yang mengusik jiwa pendengar.

“Ketika merakamkan lagu bersama arwah, sudah tentu saya mempunyai memori sendiri seperti dia sentiasa menunggu di studio.

“Saya memanggil arwah sebagai Ahmad dan pernah berkata kepada arwah, apa sahaja lagu ciptaannya yang dinyanyikan pasti masuk ke dalam hati.

“Lagu-lagu beliau sangat ‘mellow’ dan saya menyanyikan dengan penuh penghayatan.

“Kalau di studio saya selalu bertanya, apa yang kurang dan dia jawab kalau saya nyanyi tiada yang kurang,” katanya.

Hetty ditemui Utusan Malaysia di kediaman Ahmad Nawab di Taman Melewar, Batu Caves sebelum jenazah dibawa ke surau berdekataan untuk penghormatan terakhir.

Dalam pada itu, penyanyi Inginku Sandarkan Harapan Itu terharu menceritakan Allahyarham sering menyokongnya dengan menonton persembahannya di Malaysia.

“Kalau saya ada acara di Malaysia, cucu arwah beritahu, dia selalu menonton saya.

“Cucunya juga ada berkata penyanyi Indonesia yang dia kenal hanya dua iaitu saya dan Broery Marantika. Alhamdulillah saya berkesempatan untuk hadir hari ini.

“Malam tadi saya ada acara dan tugas, kemudian dengar khabar itu (pemergian Ahmad Nawab), jadi pagi ini saya beritahu kepada papa (suami) harus datang.

“Sebelum ini ketika kehilangan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad dan Allahyarham Datuk Sharifah Aini saya tidak sempat datang kerana berada di Jakarta. Jadi, untuk kali ini saya perlu hadir juga,” katanya.

Terdahulu, lagenda muzik, Tan Sri Ahmad Nawab menghembuskan nafas terakhir pada usia 92 di kediamannya di Taman Melewar, Batu Caves pada Ahad.

Keadaan Allahyarham dikatakan lemah selepas dibenarkan pulang daripada menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), bulan lalu.

Sepanjang hayatnya, beliau telah menggubah 2,000 lagu sejak memulakan kerjaya muzik pada usia 16 tahun.

Beliau dianugerahkan gelaran Seniman Negara Ke-7 oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada 2006, iaitu penganugerahan tertinggi negara kepada seniman terutama dalam bidang muzik.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Kuala Lumpur – Karak (Taman Selasih) hari ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN