KUALA KANGSAR: Perak berjaya merekodkan kutipan hasil negeri mencecah RM1.09 bilion setakat 1 November lalu bagi tahun 2024, iaitu meningkat RM130 juta berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, prestasi tersebut diyakini dapat memadam unjuran defisit sebanyak RM67.5 juta dalam Belanjawan 2024.
Tambahnya, keadaan itu juga sekali gus akan sekali lagi merekodkan lebihan atau surplus untuk tiga tahun berturut-turut.
“Alhamdulillah, deretan keberhasilan yang didukung oleh data dan angka, menjadi cerminan betapa Kerajaan Paduka Seri Tuanku berada dalam haluan yang betul untuk menjayakan segala ikhtiar dan daya usaha yang digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Sembah Ucapan sewaktu Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-68 Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini hari ini.
Kata Saarani lagi, mengenai kempen Tahun Melawat Perak 2024, data daripada 101 produk pelancongan dari Januari hingga Ogos 2024 menandakan sejumlah 7,167,451 pelancong, iaitu menghampiri angka lapan juta yang disasarkan.
Beliau juga berkata, industri nadir bumi sudah menyumbang pulangan hasil royalti mencecah RM30.88 juta kepada negeri dan akan terus meneroka setiap potensi yang ada untuk memastikan Perak dipetakan sebagai hab industri mineral negara.
“Kejayaan bersejarah ini menjadi suatu titik penting bagi negeri Perak kerana berjaya menembusi teknologi memproses nadir bumi yang sejak sekian lama didominasi oleh negara China dan Australia, sekali gus melorong reputasi Perak untuk bersaing di peringkat global,” katanya. – UTUSAN