Kursus bertema pembangunan keluarga, keibubapaan diteruskan HRD Corp - Anwar

Kursus bertema pembangunan keluarga, keibubapaan diteruskan HRD Corp – Anwar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Human Resource Development Corporation (HRD Corp) akan meneruskan inisiatif pembiayaan kursus-kursus bertemakan pembangunan keluarga dan keibubapaan kepada pekerja menggunakan caruman levi majikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia berikutan Kementerian Pembangunan Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) banyak melaksanakan pelbagai program pendidikan keibubapaan dan kekeluargaan di seluruh negara.

“Program-program yang dianjurkan ini banyak memberi manfaat kepada keluarga untuk menguruskan hal ehwal perkahwinan, pengurusan perbelanjaan keluarga mahu pun membantu dalam mengimbangi keperluan keluarga dan kerjaya.

“Saya menyokong inisiatif ini dan mengharapkan lebih banyak majikan akan menghantar pekerja mereka untuk menghadiri kursus-kursus pembangunan keluarga dan kemahiran keibubapaan,” katanya sempena perasmian Sambutan November Bulan Keluarga Malaysia 2024 bertemakan Kasih Keluarga, Jiwa Madani.

Teks ucapan Perdana Menteri dibacakan isteri beliau, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada majlis yang diadakan di Taman Botani, hari ini.

Terdahulu, sambutan Bulan Keluarga Malaysia diperluas di peringkat semua Kementerian dan Kerajaan Negeri mulai tahun ini.

Selain itu, kata beliau, kerjasama strategik dilaksanakan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk mengarahkan semua agensi di bawahnya termasuk pengusaha pelancongan seperti hotel dan inap desa, persatuan taman tema dan persatuan peniaga-peniaga untuk menawarkan pakej-pakej istimewa kepada percutian keluarga.

“Tidak terkecuali saya juga sarankan syarikat penerbangan turut sama memberi pakej keluarga bagi mana-mana destinasi percutian keluarga.

“Saya percaya usaha ini akan mampu semarakkan lagi masa berkualiti bersama keluarga kepada seluruh rakyat negara ini,” katanya.

Kata Anwar, dapatan Indeks Kesejahteraan Keluarga (IKK) yang dijalankan KPWKM melalui LPPKN mendapati skor pada 2022 mencatatkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

“Walaupun terdapat kebimbangan mengenai tahap kesejahteraan keluarga disebabkan oleh pelbagai krisis yang melanda negara seperti Covid-19 dan bencana alam, namun secara keseluruhannya keseimbangan kesejahteraan keluarga sentiasa diberi fokus.

“Namun, apa yang lebih penting adalah situasi sebenar di lapangan. Sebarang inisiatif yang dilaksanakan mestilah benar-benar sampai kepada penerima manfaat yang memerlukan, tanpa ada yang terpinggir.

“Kerajaan akan terus komited dalam memberikan yang terbaik kepada rakyat dan saya menggesa KPWKM dan LPPKN meneruskan hasrat murni serta melipatgandakan usaha bagi memastikan institusi keluarga di Malaysia terus kukuh, terpelihara dan sejahtera,” katanya.

Dalam pada itu, Anugerah Mesra Keluarga 2024 diberikan kepada Majlis Perbandaran Petaling Jaya bagi kategori pihak berkuasa tempatan dan Telekom Malaysia bagi kategori syarikat korporat. Masing-masing menerima RM5,000. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya