GEORGE TOWN: Modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) akan diguna pakai dalam Kurikulum Persekolahan 2027 bagi menangani isu kehamilan luar nikah melibatkan remaja yang semakin membimbangkan di negara ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, modul PEERS itu telah mendapat persetujuan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
“Keprihatinan kita sama dengan KPWKM apabila kita bercakap tentang soal kehamilan luar nikah. Kita beri tumpuan penuh kepada agenda-agenda pendidikan khususnya yang terkait rapat dengan kesihatan reproduktif.
“Dari semasa ke semasa kita juga menjalankan program-program berkaitan advokasi yang terkait rapat dengan isu-isu kesihatan reproduktif termasuk program-program bersama KPWKM,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Utama Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri sebelum ini meminta masyarakat agar berhati-hati dalam menilai isu kehamilan remaja kerana bukan semua berlaku tanpa ikatan perkahwinan yang sah.
Nancy berkata, berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 44,263 kes kehamilan remaja direkodkan di negara ini dalam tempoh lima tahun lalu dan daripada jumlah itu, seramai 17,646 remaja didapati tidak berkahwin ketika hamil.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberi tumpuan khusus terhadap modul PEERS supaya guru-guru dan murid-murid boleh diperkasa dari segi maklumat serta advokasi berkaitan isu berkenaan.
“PEERS diajar melalui kurikulum Pendidikan Kesihatan bermula dari peringkat prasekolah hingga sekolah menengah dan murid-murid dilengkapi dengan maklumat serta kemahiran khusunya kecekapan psikososial untuk membuat informed decisions dalam kehidupan harian,” katanya.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, KPM juga telah memperkenalkan Modul Ehsan yang bertujuan menangani isu-isu berkaitan keselamatan dan kesejahteraan pelajar, termasuk masalah seksual dalam kalangan kanak-kanak di sekolah.
“Modul ini berfokus pada aspek pencegahan, pendidikan dan intervensi dengan tujuan memberikan pelajar, guru serta ibu bapa pengetahuan dan alat yang diperlukan untuk menangani serta mencegah kejadian berkaitan seksualiti yang tidak sesuai dalam kalangan pelajar.
“Dalam hal ini, KPM sentiasa cakna dan memandang serius akan kepentingan memperkasa murid-murid sama ada di peringkat prasekolah, sekolah rendah mahupun sekolah menengah dalam menangani isu seperti gangguan seksual, jenayah seks siber dan pemerdagangan manusia,” katanya.- UTUSAN