Kuota solar NEM Rakyat dibuka semula

Kuota solar NEM Rakyat dibuka semula

Solar
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah memutuskan untuk menambah kuota untuk solar NEM Rakyat dan NEM NOVA agar lebih ramai pengguna boleh memanfaatkan ruang bumbung bangunan untuk pemasangan sistem solar PV.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Permohonan kuota pemasangan panel solar bagi Program Net Energy Metering (NEM) untuk kategori domestik atau NEM Rakyat akan dibuka semula pada 25 November 2024 dengan jumlah kuota tambahan sebanyak 50MW.

Penambahan ini menjadikan jumlah kuota keseluruhan untuk NEM Rakyat sejak pelaksanaannya pada tahun 2011 adalah sebanyak 450MW.

Kuota NEM Rakyat sebelum ini telah habis dipohon pada awal bulan November 2024.

Selain itu, bagi menyokong usaha syarikat korporat untuk memenuhi komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dari aspek pembekalan elektrik hijau, kuota kategori NEM NOVA untuk pengguna komersial dan industri juga akan ditingkatkan sebanyak 300MW lagikepada 1,400MW.

Memandangkan sambutan yang menggalakkan, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah memutuskan untuk menambah kuota untuk NEM Rakyat dan NEM NOVA agar lebih ramai pengguna boleh memanfaatkan ruang bumbung bangunan untuk pemasangan sistem solar PV.

Pertambahan kuota ini juga selaras dengan  pengumuman Belanjawan 2025 untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan program NEM kepada 30 Jun 2025.

Garis Panduan terkini bagi Program NEM Rakyat dan NEM NOVA boleh didapati melalui laman sesawang Suruhanjaya Tenaga di www.st.gov.my.

Manakala maklumat lanjut mengenai permohonan Program NEM boleh didapati di laman sesawang SEDA Malaysia di www.seda.gov.my.

PETRA dalam satu kenyataan berkata, kerajaan juga mengambil perhatian akan pandangan umum bahawa hala tuju pelaksanaan pembangunan solar di bumbung bangunan yang lebih menyeluruh dan jelas perlu dimaklumkan kepada pemegang taruh bagi memudahcara urusan komersial.

“Perkara ini telah pun diteliti dan pemakluman akan dilakukan dalam masa terdekat selepas kesemua aspek yang berkaitan telah dimuktamadkan.

“PETRA sentiasa komited untuk memastikan pelaksanaan semua inisiatif tenaga boleh baharu (TBB) yang diperkenalkan adalah inklusif, adil dan memberikan manfaat kepada semua rakyat.

“Sehubungan itu, inisiatif TBB menerusi program pemasangan sistem solar di bumbung bangunan ini kelak akan dilaksanakan secara teratur dan menyeluruh ke arah mencapai sasaran 70 peratus  campuran kapasiti TBB dalam perbekalan elektrik negara menjelang tahun 2050,” demikian menurut kenyataan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN