KUALA LUMPUR: Badan Peguam gagal mendapatkan kebenaran Mahkamah Tinggi di sini untuk mencabar keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara dan denda ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ia selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid di sini menolak permohonan tersebut.
“Pemohon (Badan Peguam) menghujahkan bahawa mereka tidak mencabar perogatif Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebaliknya menumpukan cabarannya kepada nasihat yang diberikan oleh Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.
“Pada dasarnya, pemohon memisahkan keputusan YDPA dan nasihat daripada Lembaga Pengampunan. Saya berpendapat bahawa tindakan pemohon untuk membezakan antara mencabar nasihat Lembaga Pengampunan dan keputusan sebenar YDPA adalah cacat.
“Saya berpendapat bahawa keputusan YDPA dan nasihat Lembaga Pengampunan semuanya adalah sebahagian daripada satu proses menjurus kepada dengan pemberian pengampunan oleh YDPA.
“Oleh itu, sekiranya keputusan YDPA untuk memberikan pengampunan tidak boleh dicabar maka proses yang membawa kepada keputusan itu juga tidak boleh dicabar,”kata hakim itu.
Jelas hakim itu, berdasarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, budi bicara pengampunan adalah budi bicara mulak YDPA dan bukannya Lembaga Pengampunan.
Oleh itu, budi bicara itu tidak boleh dicabar atau tidak wajar untuk dipertikaikan melalui semakan kehakiman.
“Berdasarkan lunas undang-undang sedia ada, sekiranya sesuatu perkara itu didapati tidak wajar, proses membuat keputusan yang membawa kepada perkara yang tidak boleh dijustifikasikan juga seharusnya tidak boleh dibenarkan,”ujarnya.
Mahkamah selepas membacakan penghakiman ringkas setebal 31 muka surat itu juga tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.
Dalam permohonan semakan kehakiman Badan Peguam yang difailkan pada 26 April lalu, organisasi itu memohon perisytiharan bahawa keputusan Lembaga Pengampunan itu menyalahi undang-undang, tidak berperlembagaan dan tidak sah, sehubungan itu ia memohon perintah certiorari terhadap lembaga terbabit untuk membatalkannya.
Selain itu, badan tersebut mahu injunksi kekal menghalang Najib selaku responden kedua atau wakilnya daripada mengemukakan sebarang permohonan untuk pengampunan, tunda hukum atau lega hukum kepada bekas Ahli Parlimen Pekan itu sehingga dan melainkan semua pendakwaan jenayah atau pertuduhan terhadapnya selesai.
Dalam pada itu, mereka mahu injuksi kekal itu sehingga Najib secara terbuka mengambil tanggungjawab atas tindakan-tindakannya yang dia telah disabitkan dan menyatakan keinsafannya dan penyesalannya atas tindakan-tindakan tersebut.
Najib kini menjalani hukuman penjara enam tahun di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas didapati bersalah atas tuduhan menyeleweng dana milik syarikat pelaburan negara, SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta. Beliau turut idenda RM50 juta.
Sebelum pengampunan diberikan pada 29 Januari lalu, Najib dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. – UTUSAN