PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan meneliti cadangan berhubung pelaksanaan saringan kesihatan minda dalam kalangan pelajar institusi penganjian tinggi (IPT).
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, buat masa ini, cadangan tersebut masih berada di peringkat perbincangan.
“Ya, kita akan lihat apa cadangan-cadangan yang diberikan. Sekarang ini, masih lagi dalam peringkat perbincangan kita,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Sidang Idea Malaysia (MyIDEAS) sempena Festival Idea Putrajaya (FOI) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.
Zambry berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada KPT akan melaksanakan mekanisme serupa seperti yang dijalankan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mengenal pasti murid yang berdepan gangguan emosi.
Menteri KPM, Fadhlina Sidek berkata, saringan minda sihat dilaksanakan setahun sekali kepada semua murid Tahun Lima hingga Tingkatan Enam.
Sementara itu, mengulas berhubung FOI 2024, Zambry berkata, KPT akan meneruskan penganjuran festival itu sebagai acara tahunan dalam usaha untuk mengangkat Putrajaya sebagai The City of Ideas.
Pada masa sama, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan kesediaan untuk menjadikan FOI, yang julung kali diadakan tahun ini, sebagai antara program mercu tanda untuk negara.
Dalam pada itu, Zambry berkata, KPT juga telah mewujudkan bank idea yang dapat memberi peluang kepada para pengunjung untuk mengetengahkan sebarang idea, pendapat atau pandangan mereka yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.
“Rakyat Malaysia atau siapa sahaja yang mungkin dia mempunyai idea-idea yang tersendiri, rakyat biasa yang mungkin ada idea-idea yang baik bagaimana dia nak membantu untuk menyelesaikan sebarang perkara, sebarang masalah, jadi kita mewujudkan bank idea ini supaya mereka meletakkan cadangan-cadangan itu.
“Cadangan-cadangan itu akan kita agihkan kepada pihak-pihak yang berkenaan khususnya kepada pihak kerajaan, kerana kita semua percaya bahawa idea itulah yang sangat penting bagi sesuatu perubahan yang baik untuk kehidupan kita semuanya,” katanya.
Selain forum keilmuan, FOI Putrajaya 2024 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini sehingga Jumaat turut membawa pelbagai pameran produk inovasi dan penyelidikan IPT, kisah kejayaan Idea Malaysia, program silang budaya melibatkan pelajar tempatan dan antarabangsa serta perkongsian mengenai isu semasa. – UTUSAN