KPM siasat murid rentas Sungai Golok ke Malaysia untuk bersekolah

KPM siasat murid rentas Sungai Golok ke Malaysia untuk bersekolah

FADHLINA Sidek berbual bersama pelajar selepas merasmikan pembukaan MPH Bookstores (MPH) di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan menyiasat lanjut laporan berhubung murid dan pelajar sekolah dari Thailand yang merentas Sungai Golok untuk bersekolah di Malaysia (Rantau Panjang, Kelantan).

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, jika mereka warganegara Malaysia, maka sepatutnya mereka berada di negara ini.

Beliau berkata, pihaknya akan menyiasat perkara itu kerana ia membabitkan pergerakan jumlah murid dan pelajar yang ramai setiap hari.

“Kalau anak-anak ini adalah warganegara Malaysia, sepatutnya dia bersekolah dalam Malaysia dan tidak timbul isu dari segi keselamatan mereka yang menyeberangi sungai itu.

“Tapi kita akan siasat dan ambil maklum tentang perkara ini kerana bilangan yang didakwa itu sangat tinggi.

“Dari segi akses pendidikan, kita telah sediakan semuanya di peringkat Kementerian Pendidikan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan semula MPH Bookstores (MPH) di pusat beli belah Alamanda Putrajaya di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kira-kira 500 murid dan pelajar dari Thailand menggunakan pangkalan haram bagi merentasi Sungai Golok, setiap hari untuk ke sekolah di Malaysia.

Difahamkan, murid dan pelajar itu menunggu bot seawal 6.30 pagi setiap hari untuk ke Malaysia menggunakan lima pangkalan haram untuk ke sekolah termasuk pangkalan Jambu, Ibrahim Pencen dan Paun.

Kebanyakan mereka dari Thailand bersekolah di sembilan buah sekolah di sekitar Rantau Panjang termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang, SMK Rantau Panjang, SK Tok Deh, SK Gual Tinggi dan Sekolah Ugama Arab Lubok Gong.

Sebelum ini, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, pihaknya akan menahan mana-mana individu yang menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok untuk merentasi sempadan Malaysia-Thailand, berkuat kuasa 1 Disember depan.

Menurutnya, mereka akan ditahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000, jika sabit kesalahan.

Katanya, beliau sudah mengarahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pegawainya supaya mengadakan pemantauan 24 jam di sempadan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya